Nurul Izzah: Kenapa tidak pada Ismail, Mashitah - Abim

HARAKAHDAILY | .

 

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam penahanan Nurul Izzah Anwar di bawah Akta Hasutan 1948 yang tersasar dari landasan keadilan dan adalah pencabulan keterlaluan terhadap proses demokrasi di Malaysia.

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata penahanan sedemikian menggambarkan bahawa Nurul Izzah adalah seorang penjenayah yang berbahaya, berkemungkinan untuk melarikan diri dan tidak bertanggungjawab.

"Langkah beliau yang secara berani menyahut notis panggilan ke Balai Polis Dang Wangi berkaitan himpunan Kita Lawan langsung tidak dihargai pihak polis," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ia sekaligus menggambarkan kerakusan dan sikap angkuh pihak berkuasa terhadap seorang yang secara jelas memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Katanya, persoalan layanan yang berbeza-beza di bawah akta yang sama juga amat memalukan.

"Kenapa langkah yang serupa tidak dibuat kepada YB Datuk Ismail Sabri dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim?" tanya beliau.

Katanya, kenyataan mereka yang dibuat di luar parlimen, tanpa sebarang rakaman tidak perlu direman berbanding dengan kenyataan Nurul Izzah yang dibuat di dalam Parlimen dan dirakam melalui hansard Parlimen.

"Adakah ia terlalu rumit sehingga memerlukan tempoh reman ditambah?" soalnya lagi.

Justeru, ujar beliau ruang bersuara di Parlimen harus dihormati dan dibezakan dengan ucapan awam atau kenyataan di luar Parlimen.

Menurutnya, Parlimen adalah medan seorang wakil rakyat menyatakan sikap dan pendirian berprinsip mewakili rakyat yang memilihnya.

"Jika perkara-perkara berkaitan institusi dalam negara tidak boleh disentuh walaupun di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, maka timbul persoalan, di manakah perkara ini boleh diutarakan sedangkan Dewan Rakyat adalah satu korum yang sah dan mempunyai legitimasi tersendiri, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Abim menggesa agar pihak polis melepaskan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dari tahanan reman berpilih yang amat memalukan.

"Tindakan 'pendek akal' ini adalah satu provokatif yang boleh membuatkan rakyat semakin muak dan sekaligus serik untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Elemen-elemen provokatif seumpama ini harus dielakkan bagi memastikan keamanan Malaysia terpelihara," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace