PM kena hadir ke parlimen untuk jawab soalan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Dewan Rakyat dicadangkan agar memperuntukan waktu sekurang-kurangnya setengah jam seminggu untuk sesi soal jawab Ahli Parlimen dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu diutarakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika membahaskam ucapan Titah Yang DiPertuan Agong lewat petang semalam.

Mujahid berkata, cadangan itu sebagai usaha untuk memperkasakan parlimen kerana prosiding yang diamalkan sekarang masih di takuk lama.

"Kalau bangunan Parlimen sedang diperkasa dengan pembinaan dan pengubahsuaian yang begitu gah, saya juga melihat pengisian parlimen juga perlu dipulih.

"Banyak soalan yang diajukan kepada PM. Beliau perlu peruntukkan setengah jam misalnya setiap hari Rabu di mana dia sendiri akan jawab soalan-soalan Ahli Parlimen," katanya.

Hal ini kerana katanya, berdasarkan rekod pada Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13  Perdana Menteri menjawab dua soalan lisan empat soalan tambahan, penggal ke-2 hanya dua soalan lisan dan penggal ke-3 satu soalan sahaja.

"Berdasarkan pengamalan di United Kingdom Perdana Menteri hanya perlu ada seminggu sekali. Tidak semestinya hari Rabu, hari lain pun boleh di mana sesuai untuk PM.

"Setengah jam seminggu, PM boleh menjawab misalnya isu 1MDB dibangkitkan. Sekali gus menggambarkan ia adalah tanggungjawab PM," katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace