Persembahan selebriti Palestin sepanjang ijtimak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3, Hussin Ismail berkata, seorang penyanyi tersohor dari Palestin akan membuat persembahan pada tiap-tiap malam sepanjang Ijtimak berlangsung.

“Program orang muda, untuk orang muda. saya nak maklumkan bila program ini dibuat, seorang penyanyi tersohor Palestin namanya Abdul Fattah Owainat dia terus (bersetuju) untuk datang,

“Di samping menyertai persidangan dia juga akan menyampaikan lagu-lagunya selama tiga malam, bermula dari 19 hingga 21 Mac,” ujarnya dipetik laman web rasmi ijtimak.

Oleh itu, beliau menyeru supaya anak-anak muda beramai-ramai hadir mengunjungi program terbesar peringkat antarabangsa itu.

Abdul Fattah Owainat bukanlah seorang calang-calang selebriti kerana beliau adalah lepasan mahasiswa dari Universiti Swasta Zarqa, Jordan yang mengkaji tentang prinsip Undang-undang Syariah Islamiah.

Beliau memulakan kerjaya muzik profesionalnya pada usia yang muda, sebagai salah seorang pengasas dan ahli asal kumpulan ‘Al-Rawabi’ dan memulakan kerjaya solo pada tahun 1987.

Beliau bukan sahaja seorang vokalis, tetapi juga penulis lirik, komposer dan pengarah artistik.

Abdul Fattah banyak membawa lagu-lagu tentang tanah airnya Palestin dan telah mengambil bahagian dalam banyak konsert di seluruh dunia termasuk di dunia Arab dan Eropah.

Pada tahun 2003, beliau memenangi anugerah emas untuk lagu terbaik Festival ke-9 untuk Radio dan Televisyen di Kaherah dan memenangi hadiah belia untuk perkhidmatan kerja Islam untuk persembahan beliau dalam satu majlis anjuran Persatuan Kesenian Islam di Bahrain pada 2008.

Share on Myspace