Pindaan EKJS tarik tumpuan ke Dun Kelantan

| .

KOTA BHARU: Menjelang pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II esok, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang bermula semalam mendapat perhatian banyak pihak.

Pindaan tersebut hanya menyentuh beberapa perkara bersifat teknikal termasuk Seksyen 56 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (EKJS) menyebut ‘perundangan tersebut hanya terpakai ke atas orang-orang Islam yang mukalaf sahaja’.

Pindaan frasa terbabit akan dibuat terhadap EKJS pada persidangan Dun esok. Wartawan yang membuat liputan pada pilihan raya kecil Dun Chempaka dijangka beralih tumpuan ke persidangan Dun esok.

Semalam ketika bertitah merasmikan persidangan Dun, Sultan Muhammad V berharap kerajaan negeri membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen bagi membolehkan EKJS II dapat dilaksanakan.

Baginda bertitah usul persendirian itu bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Beta berharap ia dapat dilaksanakan setelah mendapat sokongan semua pihak,” titah baginda.

Bagaimanapun persidangan Dun hari ini lebih banyak berkisar isu pascabanjir bagi membantu mangsa membina semula kehidupan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sebanyak lebih RM4 juta dibelanjakan kerajaan negeri setakat ini bagi membantu mangsa banjir dan membersihkan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, sebanyak RM1.6 juta bantuan disalur melalui wakil-wakil rakyat dan Penyelia Dun, RM765,000 disediakan bagi bantuan am kepada mangsa-mangsa banjir dan selebih kos membersihkan kawasan PBT.

“Kerajaan negeri juga mendapat kerjasama baik daripada NGO dan agensi kerajaan pusat bagi membantu mangsa banjir termasuk menyediakan rumah transit dan rumah kekal.

“Manakala rumah kekal yang sudah siap dibina untuk mangsa-mangsa banjir ialah 22 buah iaitu di Machang, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya menjawab soalan Azami Mohd Nor (PAS-Kadok).

Menjawab soalan tambahan Adun sama beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat menstruktur semula belanjawan 2015 yang dibentang tahun lepas biarkan banyak peruntukan diperlukan bagi membantu manga banjir.

Katanya kerajaan negeri akan melihat pergerakan hasil kerajaan negeri terlebih dahulu bagi tahun ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri mengambil pengajaran banjir besar yang berlaku tahun lepas dengan membuat persediaan lebih awal termasuk menambah aset-aset dan kemahiran petugas. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace