JK Tadbir akan urus mesyuarat agung PAS Batu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat akan melantik Jawatankuasa Tadbir untuk menguruskan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu dan pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2015-2017.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, ini ekoran peletakan jawatan 17 orang ahli jawatankuasa PAS kawasan itu, semalam.

Beliau berkata, pelantikan Jawatankuasa Tadbir itu berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan PAS.

"Pejabat Setiausaha Agung PAS sudah semak dan mendapati ahli jawatankuasa PAS Batu yang masih ada tidak cukup korum untuk mengendalikan urusan PAS kawasan termasuk mesyuarat agung," ujarnya kepada Harakahdaily.

Biasanya, jelas beliau jawatankuasa tadbir yang diberikan mandat oleh PAS Pusat untuk mengendalikan mesyuarat agung dan pemilihan PAS kawasan itu diserahkan kepada perhubungan PAS negeri berkenaan.

Katanya, jawatankuasa tadbir bagi mengendalikan mesyuarat agung dan pemilihan PAS kawasan Batu akan diputuskan pada mesyuarat AJK PAS Pusat pada 13 April depan. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace