Hutang negara, Dewan Rakyat dan tanggungjawab kita

| .

PADA 30 Oktober 2014, saya mengutus surat kepada setiap Ahli Dewan Rakyat tanpa pengecualian, suatu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Ia menitikberatkan kebimbangan saya yang amat sangat terhadap kesejahteraan negara kita yang tercinta serta kedudukan Dewan yang mulia ini.

Saya mengambil tindakan tersebut memandangkan bahawa dalam sesebuah demokrasi berperlembagaan, Dewan Rakyat merupakan institusi terakhir yang bertanggungjawab ke atas keadaan negara dan rakyat jelata. Di samping itu, sebagai Ahli Dewan Rakyat kita telah bersumpah untuk berkhidmat kepada negara serta menegakkan Perlembagaan demi kepentingan rakyat Malaysia. Sayugia diingat bahawa sumpah setia itu bukanlah kepada parti ataupun pemimpinnya.

Sejak penulisan surat tersebut, keadaan ekonomi dan politik dunia telah pun berubah secara mendadak. Barang diingat bahawa setiap negara saling bergantung antara satu sama lain. Ini bermakna Malaysia tidak terlepas daripada merasai kesan perubahan ekonomi dan politik yang dialami dunia. Keadaan baru ini memerlukan kita mengambil kira dan menimbang perubahan yang perlu kita buat. Sekiranya kita hendak menyelamatkan rakyat, apa-apa cadangan kita untuk perubahan mestilah mampu menimbulkan kesan positif untuk mengatasi masalah berat yang melanda negara. Dalam menimbang apa jua perubahan, kita seharusnya memahami keadaan yang sedang melanda negara. Yang demikian saya ingin nyatakan kerisauan saya terhadap keadaan negara sekarang ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedudukan hutang negara akan tentukan keadaan dan kestabilan ekonomi kita. Mutu dan gaya hidup rakyat bergantung kepada dua perkara ini.

Yang saya maksudkan dengan hutang negara ialah hutang kerajaan, hutang sektor korporat dan hutang isi rumah.

Kerisauan saya mengenai hutang negara adalah kerana ia telah mencecah paras yang boleh menyebabkan tercetusnya krisis ekonomi dan politik di hari muka. Kita tidak mungkin dapat menelah akan akibat dan kesan daripada krisis sebegini. Tetapi apa yang nyata ia berbahaya terhadap Demokrasi Berperlembagaan yang mencorakkan kenegaraan Malaysia.

Sekaligus ini mengarahkan perhatian umum kepada persoalan asas lagi penting sama ada Dewan Rakyat mampu bertindak untuk menangani permasalahan semasa demi menegakkan ikrar kita ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan
Rakyat.

Berpandukan ikrar tersebut, saya berpendapat bahawa kita berkewajipan untuk mengetahui sebanyak manakah hutang negara itu dan apakah kemungkinan bebanannya terhadap rakyat kelak. Sila maklum bahawa kita dianggap gagal dalam
memenuhi ikrar keperlembagaan tersebut sekiranya kita tidak ajukan soalan terpenting dalam menentukan sebanyak manakah hutang tersebut. Dalam hal ini kerajaan haruslah bertindak secara telus serta memberitahu kepada Dewan Rakyat akan keadaan sebenarnya berkaitan dengan hutang negara.

Oleh kerana kita mengambil berat akan hutang negara, sekiranya rakyat dibebankan lagi dengan hutang, kita berkewajipan untuk memastikan bahawa pendapatan negara digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk pembayaran faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Sekiranya terdapat hutang sah dan kita bertanggungjawab ke atasnya maka kita berhak mendapat maklumat mengenai hutang tersebut.

Yang demikian, sebagai Ahli Dewan Rakyat adalah menjadi tugas kita dan kita berhak untuk mendapat segala maklumat berkaitan dengan hutang tersebut. Sebagai Ahli Dewan Rakyat kita juga bertanggungjawab untuk memastikan segala jaminan, dengan izin Tan Sri Yang Dipertua, instrument kewangan dan letters of comfort yang membebankan rakyat jelata dengan hutang dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Cara ini membolehkan kita menilai dengan penuh tanggungjawab sama ada wajar atau tidak rakyat terus dibebankan.

Atas perkiraan inilah saya telah cadangkan di dalam surat bertarikh 30 Oktober 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat. Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat. Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan.

Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil. Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini.

Sekiranya sebab musabab perlunya berhutang dibentang di Dewan Rakyat dan ia didapati munasabah tentu sekali kita dapat bertindak secara wajar terhadap niat Kerajaan. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati mengenai sama ada Kerajaan berhak mengenakan beban tambahan ini.

Sayugia diingatkan bahawa hutang isi rumah secara rasminya adalah pada tahap 87.4 peratus dan ini diakui satu-satunya yang tertinggi di Asia. Kita juga dibebani hutang korporat dan kita seharusnya mengambil berat akan perkara ini. Malangnya kita tidak dapat tanggapan sebenarnya mengenai masalah ini oleh kerana ketidaktelusan berkaitan dengannya. Apa pun, jumlah hutang isi rumah,hutang negara dan hutang korporat seharusnya merunsingkan kita apabila soal masa depan diperkatakan.

Juga merunsingkan ialah penggunaan dana Kumpulan Wang SimpananPekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusiinstitusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadananperbadanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman.

Dengan sendirinya ini membawa kita kepada persoalan tatacara pemerintahan atau, dengan izin, good governance yang penting dan perlu dalam pentadbiran kewangan negara kita. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahankepentingan. Barang diingat bahawa pertelingkahan kepentingan ini merupakan suatu masalah serius. Bahawa perkara ini mungkin telah diterima oleh Dewan Rakyat selama ini merupakan sesuatu yang tidak baik kepadanya.

Satu perkara yang ada hubungkait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah pengisytiharan harta dan liabiliti. Pengisytiharan ini hendaklah merangkumi Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen dahulu dan sekarang serta juga mereka dari sektor awam dan swasta di peringkat mempunyai kuasa membuat keputusan, dahulu dan sekarang. Pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang
diwujudkan melalui Akta Parlimen.

Kini kita sedang menghadapi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemerosotan ekonomi serta institusi yang dipertanggunjawabkan dengan mendaulat dan menegakkan Pemerintahan melalui Undang-Undang dan Perlembagaan demokratik, dan penghakisan perpaduan nasional mendadak sekali dan bertembung antara satu sama lain. Keadaan ini telah mencetus suatu krisis yang meresap ke akar umbi dan kita kini berada di dalam keadaan kesesakan politik dan ekonomi.

Keadaan ini memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali AhliAhliYang Berhormat sekalian.

Kita sedang mengalami cabaran yang tidak pernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat telah beranjak kepada kepimpinan parti politik. Ia merupakan perkembangan di luar perlembagaan. Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.

Yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian seharusnya membuat keputusan sama ada hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli Dewan yang mulia ini atau pun melepaskan sahaja hak sebagai Ahli Yang Berhormat kepada kuasa di luar Dewan Rakyat. Keputusan yang harus dibuat merupakan keputusan asasi untuk rakyat jelata. Ia merupakan detik bersejarah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian dan perlu membuat pilihan sama ada  hendak berkhidmat serta tunduk kepada kehendak rakyat ataupun hendak bersama kepimpinan parti.

Tan Sri Yang Dipertua, di kesempatan ini izinkan saya nyatakan bahawa dalam usaha kita membuat keputusan yang saya sebutkan itu kita haruslah berpandukan kepada suara hati atau pun, dengan izin, conscience. Ini bermakna kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itu kita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

(Ucapan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 17 Mac 2015)

Share on Myspace