EKJS II: Hormati proses demokrasi

| .

KUALA LUMPUR: Pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II 1993 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bukanlah perkara baru dan merupakan sebahagian daripada perjuangan PAS buat sekian lama.

Malah tegasnya, tidak timbul langsung isu ‘Unity Government’ sekiranya ada Adun Umno yang menyokong pindaan EKJS II kerana itu adalah hak ahli dewan untuk menyokong dan membantah sesuatu perkara.

"Seperti di Parlimen, tidaklah menjadi perkara yang aneh apabila ada ketikanya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut menyokong usul dan pindaan yang dibentangkan oleh pihak kerajaan.

"Adakah ini bermakna PR sudah ‘berUG’ dengan BN? Politik yang matang adalah meletakkan kepentingan rakyat di hadapan bukannya sempadan politik kepartian yang tidak berkesudahan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz turut menegaskan, PAS tidak pernah memaksa DAP untuk menyokong pindaan EKJS II Kelantan tetapi parti Islam itu berharap sekurang-kurangnya DAP menghormati proses demokrasi yang sedang dilaksanakan.

"Aspirasi dan kehendak rakyat yang telah memberikan amanah kepada PAS untuk mentadbir Negeri Kelantan sejak tahun 1990 sehingga genap 25 tahun pada 2015 ini perlulah juga dihormati," katanya.

Apatah lagi katanya, EKJS II itu hanya melibatkan orang Islam sahaja maka amatlah tidak wajar DAP melatah.

"Sepertimana PAS boleh berlapang dada terhadap hal prinsip dan dasar perjuangan DAP, maka sebegitulah yang sepatutnya dipraktikkan oleh DAP kepada PAS," ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace