EKJS II: Pakatan Rakyat tidak akan berpecah

| .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menyedari bahawa Sidang Dun Kelantan hanya meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang telah diluluskan pada tahun 1993.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pindaan ini tidak seharusnya dilihat sesuatu yang boleh menjadi penyebab kepada perpecahan Pakatan Rakyat.

"Pepecahan ini tidak diinginkan oleh mana-mana pihak. Tidak ada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat ingin lihat mereka berpecah. Hanya Umno BN sahaja mahukan ia berlaku,"katanya.

Jelasnya, enakmen itu telah wujud sekian lama dan tidak ada sesiapa yang boleh menafikan ia adalah hak rakyat Kelantan.

"Orang Kelantan ada keunikan dia sendiri dan perkara ini adalah hak mereka. Hakikatnya orang yang paling layak putuskan adalah orang yang berada di Kelantan. Di peringkat kebangsaan ia bukan isu penting,"katanya semasa sidang media petang ini.

Bahkan katanya, keunikan politik di Kelantan ini menyebabkan Umno sendiri tidak ada pilihan untuk sama-sama menyokong enakmen ini.

"Perkara ini mungkin bagi orang di luar Kelantan ia nampak pelik, tetapi akar umbi perlu diberi keutamaan,"katanya.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar pula berkata, pindaan ini melibatkan beberapa perkataan dan olahan ayat yang memudahkan untuk difahami.

"Soal pindaan ini juga memperbaiki undang-undang yang diluluskan berdasarkan pengalaman mutakhir termasuk negara Brunei dan rujukan ulama selain dalam PAS. Pindaan untuk baiki yang sedia ada," tambah Kamarudin. - HARAKAHDAILY 17/3/2015

Share on Myspace