Rakyat Malaysia tunggu aksi Tengku Razaleigh

DATUK HUSAM MUSA | .

Hari ini, YBM Tg Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang sekali lagi menyampaikan kritikan pedas terhadap kepimpinan negara di bawah YAB DS Najib Tun Razak.

Ia tidak akan mengubah apa-apa selain merekodkan keberanian YBM Ku Li untuk berbeza pandangan dengan Ketua parti beliau. Jika rakyat Malaysia boleh percaya tentang serius dan kritikalnya keadaan ekonomi dan politik negara seperti yang diucapkan oleh YBM Ku Li, apa kah yang mereka boleh harapkan dari YBM Ku Li?

Hanya menghafal ucapan-ucapan itu? Bukankah beban kewajipan membetulkan keadaan negara turut terletak di bahu YBM Ku Li? Apa kah tindakan yang beliau boleh ambil?

Adakah kata-katanya hari ini di Dewan Rakyat seperti di bawah, hanya untuk diucapkan atau untuk dilaksanakan, bermula dari diri beliau sendiri?

Saya petik sebahagian ucapan beliau;

Keadaan ini memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali ahli Yang Berhormat sekalian.

Kita sedang mengalami cabaran yang tidak pernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat beranjak kepada kepimpinan parti politik. Ia merupakan perkembangan di luar Perlembagaan. Anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan. Dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan.

Yang demikian, ahli Yang Berhormat sekalian seharusnya membuat keputusan sama ada hendak memenuhi ikrar yang dibuat ketika mula-mula menjadi ahli Dewan yang mulia ini atau pun melepaskan saja hak sebagai ahli Yang Berhormat kepada kuasa di luar Dewan Rakyat.

Keputusan yang harus dibuat merupakan keputusan asasi untuk rakyat jelata. Ia merupakan detik bersejarah kepada ahli Yang Berhormat sekalian dan perlu membuat pilihan sama ada hendak berkhidmat serta tunduk kepada kehendak rakyat ataupun hendak bersama kepimpinan parti.

Tan Sri Yang Dipertua, di kesempatan ini izinkan saya nyatakan dalam usaha kita membuat keputusan yang saya sebutkan itu kita haruslah berpandukan kepada suara hati atau pun, dengan izin, conscience. Ini bermakna kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itu kita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi.

Langkah pertama yang boleh diambil oleh YBM Ku Li ialah untuk sama menyokong usul tergempar bagi mengutuk tindakan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar susulan penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang akan dikemukakan besok.

Ia akan mencatatkan sejarah baru dan membenarkan kata-kata yang telah beliau ungkapkan hari ini.

Kedua, YBM Ku Li boleh memulakan langkah menubuhkan kaukus Parlimen untuk memantau hutang negara. Beliau boleh mempengerusikan kaukus ini dengan menjemput Ahli Parlimen dari parti yang berbeza untuk menganggotainya.

Ketiga, membentuk kelompok Ahli Parlimen seperti kata beliau : “..... Kita mesti berani menerima atau menolak sesuatu cadangan demi kepentingan rakyat yang kita wakili walaupun mungkin bertentangan dengan kehendak parti kita. Dalam pada itu kita juga bertindak secara berkumpulan dan sebagai satu pasukan demi menghambakan diri untuk menegakkan kedaulatan rakyat dan pengundi........ “ yang berani bertindak mengatasi ketaatan kepada parti demi negara dengan membawa usul menolak kepimpinan DS Najib yang telah dikritik oleh beliau.

Jika sekalipun puncak tindakan patriotik seperti itu tidak mampu dilakukan, saya percaya banyak lagi tindakan bersama Ahli Parlimen dari kelompok meletakkan negara sebagai pertimbangan utama mengatasi parti boleh lakukan untuk kepentingan negara.

Jika tidak, YBM Ku Li juga akan tersenarai sebagai mengkhianati rakyat dan negara pada satu masa akan datang.

Husam Musa
Naib Presiden PAS
17 Mac 2015

Share on Myspace