Bukan senang Ku Li buat ucapan kritik parti sendiri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ucapan Tengku Razaleigh Hamzah di Dewan Rakyat semalam, semuanya adalah manifestasi sebenar yang diluahkan oleh seorang penggubal undang-undang dan teknokrat yang suatu ketika dahulu telah merencanakan banyak polisi kerajaan dan pelaksanaannya yang begitu baik sehingga beliau diketepikan dari politik arus perdana.

Demikian tulis Aspan Alias dalam blognya.

Menurutnya, ucapan itu pastinya satu manifestasi yang luhur yang bukan sahaja dirasakan keluhan oleh Tengku Razaleigh sendiri tetapi dirasakan oleh ramai rakyat biasa seperti kita di bawah ini.

"Apa yang disentuh beliau itu semuanya kena mengena dengan kepentingan rakyat dan negara," tulisnya lagi.

Bagi Aspan, bukannya senang untuk membuat ucapan yang mengkritik parti sendiri tetapi jika Ahli Parlimen Gua Musang itu telah membuka mulut dan membuat ucapan yang begitu ‘inward looking’ ia merupakan satu tindakan yang beliau rasakan amat perlu dilakukan semata-mata untuk keselamatan dan kemajuan bangsa dan negara ini di hari muka.

Katanya, satu perkara yang sangat penting disebut oleh Tengku Razaleigh ialah tentang peranan ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya dahulu.

"Semua yang dihadapi sepatutnya difahami oleh semua ahli-ahli legislatif dan terpulang kepada ahli-ahli parlimen ini untuk melakukan pembetulan terhadap ‘serious difficulties’ yang dihadapi oleh negara kita," ujarnya.

Tambahnya, jika tidak dilakukan pembetulan sekarang, rakyat akan membetulkannya semasa pilihan raya nanti. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace