Enakmen Jenayah Syariah: DAP tidak perlu ugut PAS

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PAS berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keseluruhan Undang-undang Jenayah Syariah merangkumi Hudud, Takzir dan Qisas dilaksanakan tidak sedikit pun kerana kepentingan politik. Ia adalah kerana tuntutan agama Islam itu sendiri.

Jaminan hak beragama ini harus diakui oleh DAP kerana ia adalah sebahagian daripada prinsip persefahaman politik yang membentuk Pakatan Rakyat (PR).

Oleh itu, apabila PAS mahu dan bekerja untuk ia dilaksanakan, tidak perlulah DAP mengugut PAS dengan ancaman PR akan berpecah jika PAS teruskan usaha itu.

Pecah atau kukuh PR adalah di tangan kita yang menentukan bukan di tangan Umno. Sebagai seteru di medan politik, memanglah hasrat Umno mahu PR berpecah. Tetapi pendirian dan sikap kita sendirilah sebagai rakan sekawan akan menentukan nasib hubungan kita.

Jika DAP berpendirian menghormati perjuangan PAS ini dan bersikap tidak menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh PAS untuk merealisasikannya mengikut saluran demokrasi, PR pasti akan bertambah kuat dan kukuh; dihormati kawan, lawan dan seluruh rakyat. Lebih-lebih lagi perjuangan ini adalah aspirasi PAS sejak penubuhannya lagi dan DAP pun tahu tentang hal itu seawal penubuhan Barisan Alternatif dulu dan juga semasa PR dibentuk 2009.

Gerak kerja dan usaha untuk memastikan Undang-undang Jenayah Islam ini dilaksanakan adalah lebih awal berlaku berbanding penubuhan PR itu sendiri.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (1993) 2015 yang dibawa oleh Kerajaan Kelantan pada hari ini untuk pindaan adalah tetap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan penambahbaikan dari sudut laras bahasa dan akta bukannya undang-undang baru sebagaimana yang didakwa.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan PR itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita.

Malangnya, DAP tidak bersikap demikian. Maka, jika lemahlah PR, ia adalah berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap PAS sendiri. Bukan kerana PAS bertegas mahu laksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

Saya yakin dan percaya, jika DAP terus berkeras dengan PAS dalam isu Undang-undang Jenayah Islam ini, Umnolah paling gembira. Cita-cita mereka untuk melihat PR berpecah menjadi semakin cerah. PAS sudah pun berhabis lembut dan lunak menjelaskan semuanya kepada DAP tentang isu penggubalan dan pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam ini.

Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 yang berbunyi seperti berikut: “Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.”

Merujuk kepada kenyataan di atas, PAS sentiasa menghormati hak DAP untuk berbeza pandangan tetapi tidak untuk menghalang sebarang pindaan yang memperkukuhkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

Tahniah kepada Kerajaan Kelantan yang membawa rang undang-undang tersebut untuk pindaan pada hari ini di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Nasihat tulus ikhlas saya pula buat Lim Kit Siang, Athony Loke dan seluruh pimpinan DAP – hormatilah PAS! Bersama kita kukuhkan PR. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: Rabu 18 Mac 2015 / 27 Jamadilawal 1436H

Share on Myspace