Himpunan bantah MB Perak, 13 dipenjara 10 bulan

| .

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 kepada 12 individu yang terlibat dalam perhimpunan membantah pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada 2009.

Perhimpunan itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin sebagai menteri besar dijatuhkan.

Mereka dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman yang berkuat kuasa hari ini.

Hakim membuat keputusan itu dengan menolak keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman RM5,000 dan 2 tahun penjara sebelum ini manakala Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM5,000 tetapi tiada hukuman penjara di samping membebaskan 3 daripada mereka.

Peguam tertuduh Aminudin Zulkipli berkata, memandangkan ini adalah kali kedua rayuan dibuat, agak sukar untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan kecuali mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

Atas sebab itulah, katanya 12 yang didapati bersalah itu terus dimasukkan ke penjara hari ini juga.

Pada awalnya, 13 yang didakwa, namun seorang lagi yang merupakan rakyat Indonesia gagal dibawa ke mahkamah hari ini.

Oleh itu, pihak pendakwa menarik balik rayuan ke atasnya dan kekal dengan keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 sahaja.

Ketika majlis angkat sumpah jawatan Zambry, sekumpulan penyokong PR membuat bantahan dengan berhimpun di jalan masuk ke Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. - HARAKAHDAILY 18/3/2015 

Share on Myspace