Ops Bubar: PAS Perak akan urus keluarga 13 OKT

| .

 

IPOH: PAS Perak memberi jaminan akan menjaga kebajikan ahli keluarga 13 individu yang dihukum penjara 10 bulan hari ini kerana menyertai himpunan membantah rampasan kuasa di negeri itu pada 2009.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, proses rayuan kes ini akan diteruskan oleh peguam di peringkat Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Perak dalam memperjuangkan nasib mereka.

"PAS negeri akan menjalankan tanggungjawab untuk menguruskan kes mereka dan berusaha menjaga kebajikan ahli keluarga masing-masing.

"PAS Perak sedang mengumpul maklumat waris mahupun ahli keluarga mereka yang terlibat.

"Kami akan mengenal pasti keluarga yang terjejas secara mutlak di atas asbab keputusan ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan 10 bulan penjara kepada mereka yang membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dengan berhimpun di jalan masuk ke Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Mereka ialah Bad Latif Mansor, 48; Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusoff Jaafar, 49.

Sambil melahirkan simpati kepada keluarga orang kena tahan (OKT), Razman berkata, pihaknya akan menyusun tindakan serta program susulan termasuklah himpunan solidariti dalam usaha membangkit momentum dan kesedaran rakyat terhadap tragedi bersejarah ini.

Dalam program-program yang dianjurkan itu, kata Razman, PAS akan mengumpul dana sebanyak mungkin bagi membiayai kebajikan kesemua mereka yang terlibat.

"Kami akan melibatkan pimpinan di peringkat persekutuan bagi membuktikan bahawa PAS memperjuangkan serta bersama mereka yang telah berkorban dalam mengangkat hak rakyat," jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki menegaskan, pihaknya menghormati keputusan yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Namun katanya, PAS Perak masih menaruh harapan tinggi dalam medan terakhir iaitu di Mahkamah Persekutuan agar keputusan adalah lebih positif.

Beliau menyeru kepada semua ahli PAS khususunya serta seluruh rakyat yang cintakan keadilan untuk menyatakan solidariti dan menunaikan solat hajat agar kesemua OKT diberikan keadilan sewajarnya.

"Ahli-ahli PAS diseru membantu ahli keluarga mangsa yang terlibat, itu adalah tanggungjawab kita bersama.

"Kami simpati terhadap mangsa serta seluruh ahli keluarga kerana mereka bukan penjenayah dan mengamal rasuah.

"Mereka hanya rakyat biasa yang tidak ada kepentingan sebaliknya hanya mahu menuntut keadilan sewaktu krisis politik di Perak tempoh hari," ujar Misbahul. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace