Salahkah Ku Li bela nasib rakyat?

| .

 

PENGKALAN CHEPA: PAS menyifatkan wakil rakyat yang keluar dari dewan semasa Ahli Parlimen Guan Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berucap di Dewan Rakyat semalam sebagai tidak beradab.

Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Tengku Razaleigh hanya mencadangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ditangguhkan buat sementara waktu memandangkan bebanan ekonomi ditanggung rakyat sekarang.

“Salahkah Ku Li menyatakan perkara benar terutama bagi membela rakyat dan bukannya menekan mereka.

“Mengapa ketika ada pihak muncul bagi membela rakyat ada wakil rakyat dari parti mereka sendiri mengambil sikap keluar dewan?

"Mereka yang keluar itu tidak senang dengan ucapan Ku Li atau ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran parti berkenaan sekarang," katanya ketika ditemui selepas ceramah di Kampung Pauh Badang dekat sini malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Tengku Razaleigh ketika mengambil bahagian membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam menyentuh prestasi ekonomi dan politik negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Tuan Ibrahim berkata, pandangan Ku Li ada sebab yang munasabah untuk menangguhkan GST kerana pelbagai bebanan ekonomi ditanggung rakyat sekarang. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace