Esok penentu pindaan Kanun Jenayah Syariah

| .

 

KOTA BHARU: Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub menyifatkan sokongan padu pembangkang terhadap pindaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) (II)(1993) Pindaan 2015 mencatat sejarah.

“Saya berharap sokongan yang diberi itu lahir dari hati yang ikhlas,” katanya sebelum menangguh persidangan Dun petang tadi.

Persidangan bersambung pagi esok. Esok merupakan detik yang tunggu sama ada pindaan itu dilulus atau sebaliknya.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, persidangan esok menjadi penentu untuk melihat sejauh mana sokongan sebenar anggota-anggota Dewan terhadap pindaan berkenaan.

“Hari ini sekadar pembentang dan ucapan bagi menyokong pindaan yang dibuat,” katanya ketika ditemui.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, biar pun ada Adun tidak hadir pada persidangan hari ini namun ia tidak memberi sebarang kesan kerana belum ada pengundian dibuat.

Kata beliau esok menjadi penentu sebenar bagi melihat sokongan untuk membolehkan pindaan Kanun Jenayah Syariah (II)(1993) Pindaan 2015 diluluskan sebelum usul persendirian dibawa ke persidangan ke parlimen.

Menurutnya biar pun ada wakil rakyat tidak hadir pada persidangan hari ini namun ia tidak memberi kesan apa-apa.

“Kita akan terus pindaannya yang dibuat biar pun ada pihak di luar menentang,” kata beliau kepada pemberita.

Selepas rang undang-undang berkenaan dibentang tiga ahli mengambil bahagian berucap menyokong pindaan tersebut iaitu Datuk Hasssan Mohamood (PAS-Tawang), Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dan Dr Yusnan Yusof (PAS-Melor).

Ucapan Md Alwi yang diselang seli dengan membaca ayat-ayat al Quran bernada sedih dan sebak. Ada ketikanya beliau tidak dapat meneruskan ucapannya.

Beliau memberitahu Adun-Adun BN sepakat menyokong pindaan tersebut kerana Allah dan tidak faktor lain.

“Saya kagum dengan keberanian kerajaan Kelantan meneruskan pembentangan bagi meminda enakmen berkenaan biar pun ada pihak yang menentang.

“Saya bimbang ada halangan besar yang menanti kerajaan Kelantan selepas ini,” katanya.

Dun Kelantan sekali lagi mencatat sejarah selepas enakmen itu dilulus pada 1993.

Empat Adun tidak kelihatan ketika pembentangan rang-rang tersebut dibuat termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas), Mohd Bakri Mustapha (BN-Gual Ipoh), Ruslan Puteh (PKR-Guchil) dan Datuk Husa Musa (PAS-Salor).

Hassan ketika membahas rang undang-undang berkenaan berkata apa yang jelas pindaan dibuat itu tidak melibatkan orang bukan Islam.

Enakmen tersebut mengandungi 71 Fasal melibatkan penambahbaikan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yakin rang undang-undang itu dilulus pada persidangan Dun esok memandangkan mendapat sokongan padu anggota Dewan.

“Berdasar kepada ucapan hari ini jelas mereka menyokong penuh usaha yang dibuat kerajaan negeri,” ujarnya.

Rang Undang-Undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta’zir serta perkara-perkara yang berkaitan.

Pindaan yang dibuat beberapa fasal termasuk Fasal 2 iaitu pindaan kepada Seksyen 56(1) dan (2) Enakmen 1993 dengan dibuang Seksyen 56(2) dan mengekalkan Seksyen 56(1) menjadi Seksyen 2.

Selain itu Fasal 14 memperkatakan tentang takrif liwat iaitu membuang perkataan “selain daripada isterinya” pada Seksyen 16 Enakmen 1993.

Fasal 15 memperkatakan hukuman liwat adalah pindaan dengan memasukkan Fasal 15(2) iaitu “seseorang suami yang melakukan liwat ke atas isterinya hendaklah dihukum dengan ta’zir”

Fasal 18(2) juga melibatkan pindaan dibuat dengan memasukkan pengecualian hukuman hudud qazaf. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace