Berjuang dan dipenjara, 13 hero rakyat tak didendang

| .

 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggagaskan solidariti mega buat 13 peserta himpunan membantah rampasan kuasa di Perak pada 2009 yang dihukum penjara 10 bulan hari ini.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, solidariti mega itu sebagai simbol pembelaan dan pada masa yang sama memastikan waris-waris mereka terbela dari sudut kebajikan dan pembelajaran.

"Ada di kalangan mereka yang masih mempunyai anak kecil dan anak kelainan upaya. Namun tekad mereka untuk berjuang hingga akhir sememangnya menjadi inspirasi buat anak-anak muda yang mengimpikan perubahan.

"Mereka adalah hero rakyat yang tidak didendang, orang-orang biasa yang mengambil risiko luar biasa untuk berjuang menegakkan lunas-lunas demokrasi walau sedar hukuman menanti di hujungnya," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 kepada 13 peserta himpunan di jalan masuk ke Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar, lima tahun lalu kerana membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak selepas berlakunya rampasan kuasa di negeri itu. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace