Ops Bubar: Ameerah nyata solidariti untuk 13 OKT

| .

KUALA LUMPUR: Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan solidariti buat 13 peserta himpunan membantah rampasan kuasa di Perak pada 2009 yang dihukum penjara 10 bulan hari ini.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah menganggap hukuman ini sebagai satu lagi pencabulan terhadap hak asasi rakyat yang berjuang menuntut keadilan.

"Ameerah Malaysia menyatakan solidariti bersama-sama mangsa kezaliman ini dan mendoakan agar kesemua 13 mangsa terutamanya pihak keluarga akan terus kuat dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Fareedah juga berkata, situasi ini akan memburukkan lagi demokrasi di Malaysia selepas akhir-akhir ini ramai pemimpin politik dan aktivis masyarakat ditahan hanya kerana mengamalkan hak kebebasan bersuara.

"Akhir-akhir ini kita menyaksikan satu persatu pemimpin politik dan aktivis rakyat ditangkap hanya kerana mereka mempraktikkan hak kebebasan bersuara yg dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini sangat mengecawakan kami anak muda," katanya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 kepada 13 peserta himpunan di jalan masuk ke Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar, lima tahun lalu kerana membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak selepas berlakunya rampasan kuasa di negeri itu. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace