Banjir: Banyak kelemahan agensi kerajaan terdedah

| .

KUALA LUMPUR: Walaupun sistem pengurusan banjir negara dianggap sebagai terbaik di dunia, namun masih banyak yang perlu dikaji semula, sama ada melibatkan perancangan, prosedur mahupun pelaksanaan.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Baihaqi Atiqullah, banjir besar yang berlaku di Kelantan akhir tahun lalu mendedahkan banyak kelompangan yang perlu ditampung termasuk tindakan daripada agensi yang terlibat.

"Dilihat agak kelam kabut seolah-olah ini adalah kali pertama menghadapi bencana yang serupa. Saya masih tidak faham dengan apa yang dinamakan SOP Tentera.

"Misalnya, adakah boleh mereka memberhentikan operasi penyelamatan dengan alasan ‘tak kerja waktu malam’, sedangkan itulah waktu yang kritikal dan masih ramai mangsa yang terperangkap,"katanya ketika membahaskan ucapan Titah Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga kesal apabila kekurangan kemudahan yang ada digunakan tidak mengikut keutamaan seperti helikopter yang masih menurunkan bantuan di tempat-tempat yang masih boleh sampai melalui jalan darat.

"Tetapi tidak pula bergegas ke pusat-pusat yang terkepung dan tak mampu dihantar kecuali melalui udara. misalnya di Sek Kebangsaan Gong Dermin,"katanya.

Beliau juga meminta kerajaan menyiasat aduan yang diterima berhubung tindakan guru besar di Sekolah Menengah Chenulang Kuala krai yang tidak membenarkan sekolah mereka digunakan sebagai tempat pemindahan ketika suasana agak kritikal dengan alasan ia tidak didaftarkan sebagai pusat pemindahan pada awalnya.

Agak mengejutkan katanya hanya sebuah sahaja 'generator set' dibekalkan untuk seluruh negeri Kelantan apabila bekalan elektrik terputus.

"Samalah juga dengan unit bot penyelamat yang ber’kuasa’ seumpama Amfibia hanya dua buah sahaja dipunyai bomba dan penyelamat negeri , dan inilah yang sebenarnya banyak membantu khususnya ketika suasana kritikal di Manik Urai dan Kuala Krai secara umumnya,"tambahnya. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace