PRK Chempaka: Kelantan umum cuti peristiwa Ahad ini

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Ekoran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka hari bekerja, menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri amat simpati dengan kesukaran yang bakal dihadapi rakyat membuang undi Ahad ini kerana diadakan pada hari bekerja.

“Maka dengan ini saya mengistiharkan 22 Mac ini sebagai hari cuti peristiwa bagi negeri Kelantan Darulnaim.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pembuangan undi pada hari tersebut,” katanya pada satu kenyataan petang tadi.

Tahun lepas kerajaan negeri juga mengisytiharkan hari pengundi PRK Dun Pengkalan Kubor sebagai cuti peristiwa kerana diadakan pada hari bekerja.

Ustaz Ahmad juga berharap agar proses pengundian pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang unsur memanipulasi undi.

Sementara itu dalam perkembangan lain hanya 35.40 peratus atau 350 anggota tentera yang keluar mengundi awal hari ini. Seramai 1,497 orang layak mengundi awal pada PRK Chempaka.

Pagi tadi Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Seri Hashim Abdullah dalam kenyataannya berharap peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal mampu mencecah 70 peratus.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik pada 12 Febuari lalu.

Pada pilihan raya itu PAS diwakili Ahmad Fathan Mahmood. Beliau ditentang manakala ditentang empat calon Bebas iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary, Sharif Mahmood, Fadzillah Hussin, dan Aslah Mamat. - HARAKAHDAILY 18/3/2015

Share on Myspace