Pindaan Enakmen Jenayah Syariah II perkukuh PR

AHMAD MARZUK SHAARY | .

SAYA ingin mempertahankan pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ianya adalah merupakan sebahagian daripada prinsip prinsip demokrasi dan kebebasan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Kelantan sejak daripada awal kedatangan Islam telah lama mengamalkan perundangan Islam. Hanya setelah di'jajah' Inggeris ia mula diganti dengan undang-undang British.

Sejarah perjuangan perundangan Kelantan juga menarik untuk diketahui. 6 hari sebelum pembentukan Malaysia , kerajaan negeri Kelantan mengadakan tindakan perundangan bagi mendapatkan pengistiharan bahawa Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia adalah tidak sah dan tidak mengikat negeri Kelantan.

Masyarakat bukan Islam di Kelantan telah ratusan tahun hidup harmoni bersama masyarakat Islam. Bahkan perkembangan tokong tokong dan pusat ibadat di Kelantan menjadi simbol kebebasan dan keharmonian agama di Kelantan.

Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah memaksa DAP dan mana-mana pihak untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Bahkan kami senantiasa terbuka dalam mengadakan perbincangan malahan debat jika perlu.

Sokongan kuat rakyat Kelantan termasuk masyarakat bukan Islam terhadap PAS sejak pilihanraya umum 1990 hingga kini menjadi mandat kepada kami untuk meningkatkan lagi agenda perjuangan kami.

Ruang Sidang Dun dan Usul Persendirian Parlimen yang dibuat oleh PAS adalah melalui saluran demokrasi. PAS tidak kisah jika majoriti menolak, kerana kami menghormati proses demokrasi yang ada.

Bantahan keras DAP juga kami hormati. Ini kerana kesepakatan dalam Pakatan Rakyat juga bermaksud kami akan senantiasa menghormati apa jua perbezaan yang ada.

Saya mengajak seluruh rakan daripada PKR dan DAP untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat. 

Sesungguhnya Islam adalah rahmat untuk semua. - HARAKAHDAILY 19/3/2015

Penuis ialah Ahli Parlimen Bachok. 

Share on Myspace