Pindah wang 1MDB: Najib PM Malaysia atau Singapura?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Mahfuz Omar mendesak agar Bank Negara Malaysia dapat melakukan penyiasatan segera berasaskan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen berhubung wang 1MDB dipindahkan ke BSI Bank Limited di Singapura.

Dalam jawapan Perdana Menteri di Parlimen berkenaan wang 1MDB ada menyebutkan sejumlah RM4.08 billion sudah dipindahkan ke BSI Bank Limited di Singapura kerana urusan pengeluaran wang di sana lebih senang berbanding di Malaysia yang memerlukan kebenaran Bank Negara Malaysia bagi setiap transaksi yang melebihi RM50 juta.

"Saya ingin bertanya kepada PM Najib ini adakah PM Malaysia atau PM Singapura?" tanya Mahfuz selaku Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga mempersoalkan adakah tujuan menyimpan wang 1MDB di Singapura itu bagi mengelakkan pengawasan oleh Bank Negara Malaysia.

"Tidakkah tindakan ini jelas bercanggah dengan Financial Services Act 2013, Anti Money Laundering & Anti Terrorism Financing Act 2001?" soalnya lagi.

Katanya, jikalau ia satu kesalahan, tindakan tegas wajar diambil kepada 1MDB dan PM kerana aktiviti ‘money laundering’. - HARAKAHDAILY 19/3/2015

Share on Myspace