Pemuda PAS anggap Pindaan EKJS II perkukuh Pakatan

| .

KUALA LUMPUR: Usaha Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II 1993 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam merupakan inisiatif yang selari dengan prinsip demokrasi dan kebebasan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Exco Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Marzuk Shaary berkata, ruang pembentangan di Sidang DUN dan Usul Persendirian di Parlimen yang dibuat oleh PAS sudah jelas lagi bersuluh merupakan usaha-usaha yang mengikut lunas-lunas demokrasi berparlimen.

"Sejujurnya PAS tidak kisah jika majoriti perwakilan menolak usaha ini, kerana PAS akan sentiasa hormat kepada proses dan perjalanan demokrasi.

"Ya, bantahan keras oleh DAP juga kami hormati. Kesepakatan dalam Pakatan Rakyat memberi maksud bahawa PAS akan sentiasa menghormati apa jua perbezaan yang wujud antara parti-parti komponen," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Beliau seterusnya mengajak seluruh rakan daripada PKR dan DAP untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat kerana musuh utama mereka adalah kezaliman dan ketidakadilan.

"Hakikatnya Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah memaksa DAP atau mana-mana pihak untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

"Bahkan kami sentiasa terbuka dalam mengadakan perbincangan malahan debat jika perlu. Tambahan pula pelaksanaan EKJS II ini dimaklumi semua hanya untuk orang-orang Islam sahaja," tegasnya.

DUN Kelantan hari ini meluluskan sebulat suara rang undang-undang pindaan ke atas EKJS II apabila kesemua 44 orang Adun menyokong cadangan pindaan tersebut selepas perbahasan oleh ketua pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan tiga Adun PAS. - HARAKAHDAILY 19/3/2015

Share on Myspace