Malaysia akan bankrap akibat hutang, 1MDB

| .

P

PENGKALAN CHEPA: Malaysia akan mengalami ‘bankrap’ akibat urus tadbir ekonomi yang boros di samping hutang yang ditanggung syarikat pelaburan strategik negara 1MDB.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia ditambah lagi dengan hutang negara yang kini mencecah lebih RM700 billion, membuatkan Malaysia semakin hampir di ambang kebankrapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah di Pengkalan Nangka, di sini sempena kempen PRK N.06 Dun Chempaka, malam tadi.

Turut berucap pada majlis itu Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Menurut Rafizi, rakyat tidak diberi penjelasan sepenuhnya berhubung perkara itu bagaimana 1MDB bakal membawa ekonomi Malaysia semakin merudum.

Katanya, apabila negara berhutang dan tidak mampu pula membayar faedah tahunan syarikat atau Negara yang memberi hutang akan masuk ke Malaysia.

“Mereka akan menentukan harta negara mana yang perlu dilelong untuk mendapatkannya melalui syarat-syarat tertentu sebagai membayar balik hutang negara,”ujarnya.

Beliau turut memberi contoh, kreditor akan meminta negara memotong belanjawan tahunan sebanyak 20 peratus atau buang pekerja penjawat awam seramai 200,000 orang.

Sambungnya, kerana itu apabila kerajaan terpalit dengan 1MDB ditambah pula dengan hutang negara yang naik mendadak tahun lalu, masalah kewangan negara kian bertambah parah.

Beliau turut menambah, rakyat langsung tidak diberi pendedahan berkaitan perkara itu, jauh untuk mendapatkan persetujuan sebelum ianya dilaksanakan.

“GST yang akan dilaksanakan April ini akan menghimpitkan ekonomi mereka khususnya yang berpendapatan rendah,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun yakin, 1MDB akan ditutup setelah aliran tunai pelaburannya kosong, bagaimanapun bebannya rakyat yang akan tanggung.

Katanya, Umno dan BN sebenarnya musuh nombor satu pada rakyat Malaysia kerana usaha zalim yang dilaksanakan mereka menyusahkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Dun Chempaka supaya mengekalkan kemenangan PAS pada PRK 22 Mac ini.

Menurutnya, jangan sekali leka dengan mendakwa Pakatan Rakyat melalui PAS sudah menang.

“Kita sebenarnya masih berjuang dan bertarung, belum lagi sampai ke garisan penamat,”ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/3/2015

Share on Myspace