Private bill dijangka dibentang sesi ini

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Hanya mahkamah yang dapat memberi tafsiran sama ada tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) melulus pindaan Kanun Jenayah Syariah (KJS) II bercanggah atau tidak dengan perlembagaan.

Ketua Sekretariat Tetap KJS II, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau belum lagi mendapat maklumat lanjut mengenai saman pemula Pemuda Gerakan berkaitan enakmen berkenaan terhadap kerajaan Kelantan.

“Saya tidak tengok lagi butiran saman dibuat Pemuda Gerakan. Namun hanya mahkamah yang boleh memberi tafsiran terhadap dakwaan mereka itu,” katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam Gerakan memfail saman pemula terhadap kerajaan Kelantan di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon deklarasi pembatalan KJS II.

Saman itu dikemukan tiga ahli Gerakan Kelantan iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chun Mon Sie.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong dilapor berkata permohonan tersebut sebagai langkah awal menghalang pembentangan private bill di parlimen bagi memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan KJS.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu yakin rang undang-undang persendirian akan dibawa pada persidangan parlimen yang berlangsung sekarang.

“Bagaimanapun kita perlu memberi notis selama 14 hari sebelum membolehkan usul tersebut dapat dibawa. Persidangan parlimen sesi ini akan berakhir 9 April hadapan,” katanya.

Beliau juga membayangkan usul tersebut akan dibawa anggota parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai kapasiti sebagai Presiden PAS.

Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS Vincent Lee berkata tiada sebab masyarakat bukan Islam bimbang terhadap EKJS kerana ia secara hitam putih hanya membabitkan masyarakat Islam sahaja.

“Pembaharuan kepada enakmen sedia ada telah dibuat. Saya paling gembira kerana sudah jelas secara hitam putih undang-undang berkenaan hanya untuk orang Islam sahaja.

“Orang bukan Islam tidak dilibatkan langsung, jadi ia tidak timbul lagi sebarang persoalan mengenainya seperti yang ditimbulkan sebelum ini,” katanya.

Beliau bersama beberapa lagi pemimpin DHPP mengikut pembentangan rang undang-undang berkenaan pada persidangan Dun Kelantan sejak semalam.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata hasil kesungguhan kerajaan negeri dan sokongan pelbagai pihak dijangka membolehkan KJS dapat dilaksanakan tahun ini.

“Pemuda PAS juga dengan penuh takzim merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Kelantan di atas titah baginda yang memperkenan usaha kerajaan negeri ke arah pelaksanaan KJS,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2015

Share on Myspace