PAS jaga kebajikan keluarga 13 OKZ

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS akan berusaha menjaga kebajikan keluarga 13 ahli dan penyokongnya yang dipenjarakan atas sabitan kesalahan menyertai bantahan rampasan kuasa negeri Perak pada 2009, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika menghubungi Harakahdaily, Salahuddin berkata, PAS akan mengadakan majlis meraikan keluarga 13 orang kena zalim (OKZ) itu dalam masa terdekat dan berharap mereka bersabar dengan ujian yang diterima.

"PAS akan ambil tanggung jawab membela nasib keluarga mereka dan mengadakan majlis bagi menghargai pengorbanan mereka," kata beliau.

Kesemua 13 OKZ itu didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana terlibat dapat perhimpunan menghalang upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar kerajaan rampasan kuasa, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bagaimanapun hukuman 2 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen dikurangkan kepada 10 bulan oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenakan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Mereka yang dijatuhi hukuman penjara dan denda ialah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Idris Mohd Thaib 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, and Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, PAS Pusat akan mendapatkan nasihat Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) tentang proses perundangan seterusnya termasuk mengkaji kemungkinan mendapatkan 'pengampunan Diraja'.

"Kita akan kaji implikasi moral dan politik daripada keputusan perundangan yang bakal diambil," katanya. - HARAKAHDAILY, 19/3/2015

Share on Myspace