Kanun Jenayah Syariah: Apa isu bincang bersama

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

MARANG: PAS melihat ada 'jalan keluar' terhadap isu yang berbangkit daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang diluluskan pada persidangan Dun semalam.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana parti-parti yang berada dalam Pakatan Rakyat saling menghormati antara satu sama lain termasuk PAS dengan DAP.

"Kita ada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, apa-apa isu kita bincang bersama," ujarnya kepada media selepas berakhir program perembahan pentas dan Sembang Santai Anak Muda 'Chat With Me' sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 di Dewan Tok Guru, Rusila malam tadi.

Jelasnya, dalam beberapa isu ada perkara yang 'kita setuju untuk tidak setuju' dan masalah berkaitan Kanun Jenayah Syariah itu bukanlah perkara baharu.

Beliau menambah, enakmen yang diluluskan pada persidangan Dun semalam itu bukanlah enakmen baharu.

Tambahnya, ia adalah pindaan dan susunan semula kepada enakmen yang diasaskan pada 1993 lalu untuk menjadikannya lebih kemas.

Justeru, ujarnya enakmen tersebut tidak lari daripada apa yang telah disepakati dalam Pakatan Rakyat.

Bahkan, katanya perkara berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II itu pernah dibentangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.

Katanya, enakmen berkenaan termasuk hukum hudud sering dibangkitkan pada setiap kali pilihan raya diadakan. - HARAKAHDAILY 20/3/2015

 

Share on Myspace