Selebriti Palestin puji pengisian program ijtimak

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

MARANG: Pengisian program pra Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila malam tadi patut digalakkan.

"Program ini pada hakikatnya cukup cantik dan patut digalakkan," ujar selebriti Palestin, Abdul Fattah Owainat.

Ini, tambahnya bersesuaian dengan rakyat Malaysia yang terkenal dengan pelbagai budaya dan kesenian.

Menurutnya, program pada malam tadi itu bagus untuk menarik anak-anak muda kerana ada sebahagian daripada mereka yang suka mendengar hiburan dan menyaksikan persembahan.

Bagi lulusan Universiti Swasta Zarqa, Jordan yang mengkaji tentang prinsip Undang-undang Syariah Islamiah itu, pemuda Malaysia secara umum berakhlak baik yang turut hadir pada program seperti itu.

Abdul Fattah banyak membawa lagu-lagu tentang tanah airnya Palestin dan telah mengambil bahagian dalam banyak konsert di seluruh dunia termasuk di dunia Arab dan Eropah.

Pada tahun 2003, beliau memenangi anugerah emas untuk lagu terbaik Festival ke-9 untuk Radio dan Televisyen di Kaherah dan memenangi hadiah belia untuk perkhidmatan kerja Islam untuk persembahan beliau dalam satu majlis anjuran Persatuan Kesenian Islam di Bahrain pada 2008.

Turut membuat persembahan malam tadi ialah kumpulan nasyid Soutul Amal dan Seedrain.

Selepas persembahan itu diikuti dengan Sembang Santai Anak Muda 'Chat With Me' bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pendakwah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus. Imam Muda Fakhrurazi bertindak sebagai moderator.

Pekarangan Masjid Rusila sesak dengan para hadirin. - HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace