Keranda diusung keluar dari rumah saya - Dr Haron Din

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

MARANG: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkongsi pengalaman yang beliau tidak boleh lupakan yang berlaku pada tahun 1961.

"Sampai di rumah, saya tengok orang ramai di rumah saya. Saya tengok keranda diusung keluar dari rumah saya. Saya terduduk," ujarnya pada program Sembang Santai Anak Muda 'Chat With Me' sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 di Dewan Tok Guru, Rusila malam tadi.

Turut menjadi ahli panel ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pekdakwan ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus. Imam Muda Fakhrurazi bertindak sebagai moderator.
 
Menurutnya, pada jangkaan beliau ada dalam kalangan keluarganya yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, beliau melihat ibu dan ayahnya ada di rumah, lalu bertanya kepada ayahnya siapa yang meninggal dunia, lalu dijawab "tanya mak hang".

Beliau diberitahu bahawa orang yang meninggal dunia itu ialah seorang jirannya yang tinggal bersendirian di hujung sawah.

Katanya, kejadian itu berlaku tatkala beliau baru sampai di rumah setelah 13 hari berbasikal bersama rakannya menjelajah dari Perlis ke Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalaman mengayuh basikal itu, beliau menyasarkan kayuhan 100 hingga 120 kilometer sehari dengan berbekalkan wang RM50 untuk mengembara seluruh tanah air.

Bagaimanapun, katanya pengembaraan itu terhenti setakat Kuala Lumpur apabila rakannya demam panas dan terpaksa berpatah baik ke Perlis.

Ustaz Azhar pula pernah berbasikal dari beberapa bandar antaranya Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kuantan-Temerloh dan Johor Bharu-Segamat.

Selesai program itu, beliau melancarkan pertandingan fotografi sempena ijtimak. - HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace