PRK Chempaka: 90 peratus responden mahu ulama

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kepimpinan arwah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dun Chempaka sejak tujuh penggal lalu ternyata diterima baik penduduk tempatan.

Ini dibuktikan melalui kajian apabila sebanyak 95.3 peratus daripada 645 responden yang ditemui menerima baik kepimpinan Tok Guru.

Kajian pandangan pengundi terhadap PRK Chempaka diadakan seminggu sebelum hari penamaan calon (10 Mac lepas) dikendalikan Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Pasukan penyelidik menemubual 645 responden kalangan pengundi di 10 unit peti undi (UPU) di Dun Chempaka.

Sebanyak 90.9 peratus pengundi Dun Chempaka juga mahu pengganti Tok Guru sebagai Adun Chempaka perlu datang dari luar keluarga bekas Menteri Besar terbabit, namun perlu mempunyai latar belakang agama yang kuat.

Bekas pensyarah Sains Politik UKM, Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif berkata pemilihan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood adalah menepati cita rasa responden.

“Rata-rata penduduk cintakan Islam. Mereka menjadikan Islam sebagai pegangan hidup dan terus istiqamah mempertahankan.

“Ketaqwaan yang mantap membina jati diri mereka. Ini bermakna mereka mempunyai nilai autonomi yang tinggi,” katanya di sini.

Beliau yang juga Penyelaras Unit Penyebaran Legasi Tok Guru PAS Kelantan berkata, kajian juga mendapati sebanyak 99.7 peratus pengundi Dun Chempaka faham hak mereka sebagai pengundi bagi memilih calon yang disukai.

Malah kajian juga menemui 98.1 peratus responden menyatakan mereka tidak takut kepada ugutan dan tekanan semasa kempen pilihan raya.

Mereka menegaskan tidak akan merubah pendirian politik.

Selain itu sebanyak 94.6 peratus pengundi Dun Chempaka memberitahu fenomena imbuhan wang yang ditawarkan semasa kempen tidak dapat merubah pilihan politik responden.

Wan Abdul Rahman juga berkata responden yang ditemui bersetuju pengganti Tok Guru menerajui kerajaan negeri sekarang merupakan kesinambungan kepada kepimpinan Tok Guru selama 23 tahun menerajui Kelantan.

“Seramai 593 responden atau 91.9 peratus bersetuju dengan kenyataan itu. Sebanyak 89.9 peratus responden juga bersetuju kejayaan PAS memerintah Kelantan selama 25 tahun sejak 1990,” ujarnya.

Resipi kejayaan itu disifatkan seramai 94.7 peratus responden kerana kerajaan Kelantan pimpinan PAS menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran. – HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace