Agihkan perolehan GST untuk hapuskan kemiskinan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) mahu perolehan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)  disalurkan secara spesifik bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan kemudahan-kemudahan keselesaan rakyat.

Presidennya Datuk Moehamad Izat Emir berkata, perkara yang perlu diberi keutamaan adalah bagaimana hasil daripada GST digunakan supaya akan benar-benar memberi impak yang disasarkan.

"Sebagai contoh, masih banyak kawasan dalam negara khususnya di luar bandar yang memerlukan infrastruktur asas seperti rangkaian jalan raya, bekalan air bersih, kemudahan kesihatan yang sempurna.

"Begitu juga kemudahan di sekolah yang tidak mencukupi seperti bilik darjah yang sempit dan dalam keadaan yang daif boleh diatasi sekira hasil GST disalurkan untuk tujuan berkenaan," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan katanya, premis perniagaan yang lebih selesa dengan kemudahan bukan sahaja untuk ruang niaga tetapi tidak kurang penting ruang rehat untuk anak-anak peniaga yang menemani ibu bapa berniaga, di samping untuk mengulangkaji pembelajaran mereka dan menunai solat, juga perlu disedia.

Jelasnya, lebih banyak usaha harus dijalankan untuk mencapai matlamat berkenaan di samping meningkatkan peluang-peluang ekonomi yang memberi impak secara langsung dan berkesan ke arah menurunkan kadar kemiskinan terutama di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, dalam menguatkuasakan GST, katanya kerajaan wajar melihat struktur percukaian yang dikenakan ke atas perniagaan yang membawa kesan-kesan negatif seperti kelab-kelab malam, pusat-pusat perjudian dan rumah-rumah urut.

"Sekatan-sekatan berbentuk cukai yang lebih tinggi disarankan ke atas perniagaan seperti ini memandangkan ciri-ciri negatif seperti memporak-porandakan kesejahteraan keluarga dan rumah tangga serta individu terbabit.

"Struktur percukaian seperti pembangunan hartanah yang membabitkan nilai pembangunan kasar atau 'gross development value' yang mencecah berbilion ringgit dan memberi kadar keuntungan yang begitu tinggi juga perlu dikaji semula dalam usaha melebarkan asas cukai negara," katanya.

Justeru katanya, bagi pembangunan hartanah seperti ini beliau berpendapat adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk membina infrastruktur seperti jalan raya kerana ini membabitkan wang pembayar cukai, kemudahan-kemudahan seperti itu harus dibiayai oleh pemaju-pemaju sendiri. – HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace