Berjuanglah mengembalikan al-Quds

IZWAN ABDUL HALIM | .

MARANG: Gemblengan usaha untuk mengembalikan tanah suci umat Islam yakni al-Quds wajib diperjuangkan biarpun berhadapan halangan dan cabaran, demikian seru Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, al-Quds yang dihalang dan dirampasan oleh Zionis atas assabiyyah datuk moyang mereka, memerlukan peranan orang beriman untuk mengembalikannya sebagai tempat agung dalam menyatukan saf umat Islam.

Atas sebab itu ujarnya, “Waaqudsah” menjadi syiar yang diangkat dalam ijtimak dan muktamar itu sebagai ikatan semua kepada perjuangan tersebut.

Tuan Guru berucap demikian pada Forum Asian Untuk Keamanan Dan Pembangunan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ketiga di Kuala Ibai, di sini 17 Mac lalu.

“Kita benar-benar yakin, bahawa masa depan kita hanyalah Islam. Sesungguhnya cahaya agama ini tidak akan pudar. Inilah sepertimana janji Rasulullah SAW.

“Sentiasa akan ada satu toifah dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya, hinggalah datang perintah Allah,” ujarnya memetik hadis tersebut.

Jelasnya, umat Islam pada masa kini menghadapi cabaran luaran dan dalaman iaitu ancaman daripada dalam yang berat itu merupakan keberkatan kepada para pejuang.

Katanya, musuh-musuh akan mengambil kesempatan daripada kelemahan dalaman para pejuang Islam.

“Tidak syak lagi, bersamanya dua fenomena kelemahan itu. Pertama, fenomena ‘tasahhul’ (bermudah-mudah) dalam agama. Daripada sudut hukum-hukum, yang digunapakai dalam pentadbiran, dalam perlaksanaan syariat Islam dan agama.

“Mereka melaksanakan dengan perlaksanaan cara politik musuh dalam urusan dalaman umat Islam, dalam tarbiyah, ta’lim, pengajaran, yang disandarkan kepada politik dan ekonomi, ilmu-ilmu dan lain lain.

“Keduanya, fenomena ‘tasyaddud’ yang mereka ini daripada golongan yang ada latar belakang agama Islam. Tanpa ‘tafaqqquh fid din’ (pemahaman agama) kita lihat mereka yang menunaikan haji, yang melontar jamrah, mereka tidak melontar ke arah lubang, tetapi ke arah saudara-saudara mereka,” ujarnya menyata pencerahan.

Begitulah juga umpamanya kata beliau terhadap orang yang tidak faham mengenai jihad dan dakwah.

Menurutnya, sejarah Islam yang mulia, ‘Futuhat Islamiyyah’ (pembukaan wilayah Islam) telah menjadikan manusia masuk ke dalam Islam secara berpusu-pusu.

Hal tersebut terangnya, berlainan dari penjajahan kerana 'futuhat' masuk ke bumi-bumi yang didatangi secara diterima dengan keadilan perlaksanaan syariat-Nya dan akhlak.

Jelas Tuan Guru, ‘tasyaddud’ pada ‘assohwat’ dilakukan para musuh melalui cara membangkitkan fenomena Islamofobia dengan mengambil contoh daripada sebahagian daripada umat Islam sendiri.

“Kumpulan Ahzab masa kini menyerang kita, menelan Islam dengan kuasa, walaupun mereka menamakan perjuangan kesamarataan, hak-hak manusia sejagat, seperti yang berlaku di Mesir, Algeria, Palestin, jazair.

“(Tetapi) Tiada demokrasi untuk pejuang-pejuang Islam. Tiada hak-hak asasi manusia untuk pejuang Islam. Namun begitu, wajib atas kita semua atas jalan istiqamah," titip beliau yang juga Presiden PAS.

Tambah beliau lagi, pada zaman ini, umat Islam diserbu ke atasnya umat-umat lain termasuk tanah air dan maruahnya, selain menjadi korban jiwa di seluruh dunia.

Terdahulu, Tuan Guru dalam ucapan tersebut berkongsi kebanggaan bahawa negeri Terengganu yang dimasuki penjajah British itu dahulunya pernah merakam sejarah mengibar bendera Khilafah Uthmaniyyah.

Tegasnya, semangat Islam, persaudaraan dan keimanan, menjadikan mereka jasad yang satu di mana telah berdemonstrasi terhadap tragedi kejatuhan khilafah.

Terengganu juga katanya, bersama Kelantan telah mengangkat PAS pada Pilihan Raya 1959.

“Dijatuhkan kedua-duanya secara politik, ekonomi dan krisis. Tetapi cahaya Islam dalam dua-dua negeri ini tidak pernah putus untuk selama-lamanya.

“Maka kehadiran kalian dalam ijtimak ini, memberi semangat baru kepada ahli di negeri ini,” ujar Tuan Guru mengalu kehadiran delegasi. – HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace