Kelantan istiqamah dengan Kanun Jenayah Syariah II

HARAKAHDAILY | .

MARANG: Kerajaan Kelantan tetap istiqamah untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II setelah PAS diberi izin berkuasa kali kedua oleh Allah Taala pada 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nassuruddin Daud berkata, dengan kuasa yang diberikan oleh Allah itu, kerajaan negeri telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah II pada 25 November 1993.

Justeru, katanya pindaan kanun itu yang merupakan undang-undang jenayah Islam merangkumi hudud, qisas dan takzir yang diluluskan pada persidangan Dun kelmarin bukanlah enakmen yang baharu.

Jelasnya, pindaan yang dibuat itu adalah untuk mengemas kini enakmen yang telah diluluskan pada 1993.

"Insya Allah, pada tahun 2015 kita laksana syariah Islam di Kelantan. Ini tekad kita, penegasan kita," ujarnya ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Rusila sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3, malam ini.

Beliau berkata, apabila kerajaan negeri mengemukakan pindaan enakmen itu telah mendapat sokongan sebulat suara daripada 44 Adun pada persidangan Dun, Khamis lalu.

Jelas beliau lagi, antara pindaan itu ialah seksyen 2 bahawa undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja yang melakukan kesalahan jenayah di Kelantan.

"Bukan Islam tiada ruang dihukum di bawah enakmen pindaan ini," katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau sepatutnya bukan Islam tidak menentang pelaksanaan enakmen tersebut.

Beliau menegaskan bahawa orang Islam wajib menerima undang-undang Islam itu dan bukan Islam tiada hak menghalang, apatah lagi menentangnya.

"Kita tidak akan layan sesiapa lawan hudud, kita wajib istiqamah meneruskan perjuangan kita," ujarnya. - HARAKAHDAILY 20/3/2015

Share on Myspace