Chempaka: SPR harap lebih 70 peratus mengundi esok

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap lebih 70 peratus daripada 20,390 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka esok.
    
Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata tidak ada sebab untuk tidak keluar mengundi memandangkan keadaan cuaca sekarang adalah baik ditambah dengan jaminan keselamatan daripada pasukan keselamatan.
    
"Kami harap keadaan cuaca pada esok adalah baik seperti hari ini, sekali gus akan memberi ruang yang selesa kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir SPR di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
    
Hadir sama Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pengarah SPR Kelantan Mohamad Mahmud.
    
Mohd Hashim berkata seramai 403 petugas yang dilantik SPR telah diberi taklimat tentang persiapan dan semakan keperluan untuk hari pengundian esok.
    
Mengulas peratusan rendah pengundi awal menunaikan tanggungjawab pada Rabu lepas, beliau berkata SPR akan menjalankan kajian menyeluruh dan menambah baik sistem sedia ada jika perlu.
    
"Saya tak boleh nak buat kesimpulan kerana kami masih mengkaji masalah berkenaan. Saya yakin Pengerusi SPR (Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof) akan buat kenyataan kepada media (berhubung masalah berkenaan) selepas ini.
    
"Sudah pasti kami akan buat pembaharuan dan tambah baik terhadap sistem sedia ada dan jika perlu koordinasi dengan mana-mana pihak, kami akan lakukan," kata Mohd Hashim.  
    
Rabu lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak mencapai 70 peratus yang disasarkan SPR.
    
PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.
    
Ia menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.
    
PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan [email protected], 42, manakala calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59, Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64. - BERNAMA

Share on Myspace