Kanun Syariah: RUU mungkin tak dapat dibentang sesi ini

BERNAMA | .

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan tidak mungkin dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

Beliau berkata ini berikutan banyak lagi Rang Undang-undang kerajaan perlu dibentangkan pada sidang Parlimen (Dewan Rakyat) kali ini yang akan berakhir 9 April hadapan.

"Saya difahamkan Speaker Dewan (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) sudah menerima Rang Undang-undang Persendirian mengenai hudud ini, tetapi belum tahu sama ada akan dibentangkan atau tidak.

"Kerana banyak bill (RUU) kerajaan seperti rang undang-undang khas untuk menangani ancaman militan termasuk kumpulan IS akan dibentangkan pada persidangan kali ini.

"Jadi kita tidak tahu ada masa yang cukup atau tidak untuk dibentangkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak, di sini Sabtu.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud untuk dilaksanakan di negeri itu. - Bernama

Share on Myspace