Ijtimak antarabangsa komitmen PAS dalam isu global

MUHAMMAD FAIZAL | .

MARANG: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 yang berlangsung di pekarangan Masjid Rusila dilihat sebagai komitmen PAS di peringkat antarabangsa.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS meneruskan komitmen dalam isu-isu peringkat antarabangsa khususnya melibatkan gerakan Islam.

"Himpunan ini menunjukkan komitmen kita dalam isu global serta keprihatinan kita dalam mencari kesepakatan dengan gerakan Islam sedunia.

"PAS melihat walaupun terdapat perbezaan sosial budaya serta rencah politik namun dalam menyatupadukan gerakan Islam kita terus seiring khususnya isu membabitkan Palestin," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut berharap objektif dapat dicapai pada hari terakhir Ijtimak nanti dengan satu sikap prihatin parti terhadap saudara-saudara Islam di dunia.

"PAS sebenarnya telah lama berada di peringkat antarabangsa adalah memperjuangkan hak-hak Islam seperti mana usaha kita di Acheh serta Palestin.

"Saya harap di akhir himpunan ini kita dapat mencapai objektif bersama dalam menunjukkan keprihatinan kita terutamanya isu membabitkan soal kemanusiaan dan isu membabitkan Islam," katanya yang juga Pengarah Jabatan Tarbiyah PAS Pusat.

Tambahnya, paling penting adalah PAS walaupun bukan sebuah parti yang memerintah namun dengan perhimpunan ini dapat membuktikan ia mampu melaksanakan program yang besar.

"Ini juga persiapan kita untuk menghadapi PRU14 nanti, sebagai bukti kita mampu menganjurkan sebuah program yang besar melibatkan peringkat antarabangsa," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY 21/3/2015

Share on Myspace