Suasana membuang undi sibuk biarpun tanpa BN

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Calon PAS pada PRK Dun Chempaka, Ustaz Mohd Fathan Mahmood membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa jam 8.20 pagi tadi.

Beliau diiringi Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Suasana tempat mengundi agak rancak apabila ramai pengundi sudah berada di kawasan tempat mengundi di 10 lokasi.

Di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa tempat semakan pemilih PAS dikunjungi ramai pengundi awal pagi lagi.

Pengarah Pilihan raya PAS Kuala Krai, Arifabillah Ibrahim berkata ramai pengundi peti undi Baung keluar sebelah pagi.

Katanya, pengundi mengambil kesempatan keluar mengundi pagi terutamanya yang tinggal di luar kelantan.

"Mereka keluar lebih awal kerana terpaksa bergegas untuk pulang ke tempat kerja di luar Kelantan," katanya.

Sepanjang jalan di kawasan tempat mengundi agak sibuk biar pun Umno tidak menyertai PRK kali ini.

Beliau yang juga bekas Adun Dabong menjangka majoriti diraih calon PAS di peti undi itu lebih besar berbanding pilihan raya umum lepas memandang calon orang tempatan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa berkata dianggar separuh penggundi luar balik menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, ada yang pulang lebih awal memandang cuti persekolahan sekarang.

Seorang pengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 memberitahu ramai pemilih di saluran 3 dan 4 di tempat mengundi tersebut.

Katanya, saluran mengundi tersebut pemilih beratur panjang berbeza berbanding saluran lain.

Seorang pengundi Solihin Aziz, 23, yang pertama kali mengundi berkata beliau sampai pagi tadi untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1.

Katanya beliau bekerja di Pelabuhan Klang pulang untuk menunai tanggungjawab sebagai pemilih dan akan ke tempat kerja semula pagi esok untuk meneruskan kerja selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

"Semasa dalam perjalanan malam tadi saya temui ramai juga mereka yang mahu pulang mengundi," katanya. - HARAKAHDAILY 22/3/2015

Share on Myspace