1MDB: Polis tetap siasat tanpa perlu tunggu laporan audit

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tetap menjalankan siasatan terhadap isu dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ketika Jabatan Audit Negara melakukan audit terhadap syarikat itu.

Beliau berkata walaupun polis sebelum ini menetapkan hanya akan menjalankan siasatan jika audit terhadap 1MDB mengesan sebarang percanggahan, pasukan petugas khas bagi kes itu yang bermesyuarat pada Jumaat lalu memutuskan segala maklumat atau laporan yang diterima berhubung kes itu perlu disiasat.

"Berikutan polis menerima maklumat dan laporan berkaitan kes (1MDB), pasukan petugas khas ini berpendapat kami perlu menjalankan siasatan yang sepatutnya ke atas apa juga maklumat yang diterima tanpa perlu menunggu laporan penuh Jabatan Audit Negara selesai," katanya.

Selain Bahagian Jenayah Komersial, pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat laporan polis berhubung 1MDB berkaitan dakwaan salah urus dana syarikat itu turut disertai Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melepaskan peserta Kayuhan Malaysia Polis Diraja Malaysia di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan pada 2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan penyelewengan pengurusan kewangannya..

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lepas, telah mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan secara bebas akaun syarikat itu.

"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Perdana Menteri.

Berhubung isu stesen radio BFM yang memuat naik klip video menyindir pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Ketua Polis Negara berkata ini kali kedua stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris itu terbabit mempersendakan agama Islam.

Katanya pada akhir tahun lepas, stesen radio BFM didenda RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu wawancara yang dibuatnya bersama sarjana agama dari Amerika Syarikat, Reza Aslan berhubung kalimah Allah pada 21 Okt 2013.

"Saya ingin ingatkan stesen-stesen radio, khususnya BFM supaya lebih berhati-hati kerana sebelum ini mereka pernah dikenakan tindakan berhubung isu kalimah Allah.

"Kini, sekali lagi dia cuba mainkan isu yang sensitif kerana apa yang diucapkan oleh (wartawan BFM) Aisyah (Tajuddin) sebenarnya boleh dianggap mempersendakan agama Islam yang tentunya melukai perasaan ramai orang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Khalid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menentukan tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap stesen radio BFM serta mencari kaedah terbaik mengawal penyiaran isu-isu sensitif yang membangkitkan kemarahan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata polis akan memanggil Aisyah, penulis skrip dan pihak yang membuat ugutan terhadap penyampai BFM itu bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menimbulkan suasana tidak harmoni dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Katanya sehingga kini polis menerima lima laporan berhubung penyiaran video kontroversi itu. - Bernama

Share on Myspace