Pelakon Mustapha Kamal antara yang mengundi

FUAD NURHAD Foto ZAMANI M ZIN | .

PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob memberitahu beliau berpuas hati dengan kehadiran pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi.

Beliau berkata, tinjauan yang dibuat ke beberapa pusat mengundi mendapati kebanyakan pengundi keluar pagi sebaik sahaja tempat mengundi dibuka jam 8 pagi tadi.

"Kita berharap pilihan raya kecil Dun Chempaka berjalan lancar sehingga tamat proses pembuangan undi jam 5 petang nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sabak di sini, hari ini.

Dalam pilihan raya ini calon PAS Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, 42, ditentang empat calon bebas iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary,48, Sharif Mahmood,59, Fadzillah Husssin,55 dan Aslah Mamat,64.

Ustaz Ahmad berkata, pada mulanya beliau tidak menyangka sambutan yang membanggakan segenap lapisan pengundi di Dun Chempaka.

"Ini mungkin disebabkan pertandingan kali ini hanya PAS yang satu-satunya parti masuk bertanding sedangkan calon lain mewakili bebas. BN tidak meletak calon,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasar kepada perkembangan sebelah pagi ia memberi gambaran peratus yang akan keluar mengundi dijangka tinggi.

Sehingga jam 11 pagi tadi peratusan keluar mengundi sebanyak 31.3 peratus atau 6,382 pengundi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, berdasar kepada perkembangan sebelah pagi didapati ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, suasana rancak itu mungkin didorong agak ramai pengundi luar pulang bagi membuang undi.

“Suasana tetap meriah biarpun tanpa kehadiran Umno dan BN. Malah petugas PAS dari seluruh Kelantan tetap bersemangat melaksanakan tugas bagi membantu kempen.

“PAS dari kawasan lain membantu petugas tempatan dari segi kepakaran IT, dan tugas-tugas merayu undi. Bilangan petugas tetap ramai biar pun tanpa kehadiran BN,” katanya.

Beliau juga berharap PAS Chempaka dapat menimba pengalaman PRK tersebut bagi memantapkan jentera untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.   

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata seramai 1,020 anggota polis bertugas di sembilan pusat mengundi PRK Chempaka bagi mengawal keselamatan sepanjang proses pengundian.

Kata beliau pihaknya juga menempatkan Skuad Antikesesakan di seluruh Dun Chempaka bagi mengawal lalu lintas untuk memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

"Kita dapati lalu lintas di setiap pusat mengundi berjalan lancar dan sehingga kini kita tidak menerima apa-apa laporan provokasi atau kekacauan awam.

"Terdapat sebuah pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting berkongsi dua daerah mengundi iaitu Tebing Tinggi dan Telok Kitang menjadikan sebanyak sembilan pusat pengundian," katanya pada sidang media.

Mazlan juga menyifatkan PRK kali ini paling selamat memandangkan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya menerima 40 laporan sepanjang kempen pilihan raya berlangsung termasuk kesalahan pilihan raya memasang logo parti yang tidak bertanding. – HARAKAHDAILY 22/3/2015

Share on Myspace