Sasaran mengundi 70 peratus boleh dicapai - SPR

FUAD NURHADI | .

PANGKALAN CHEPA: Sehingga jam 12 tengahari tadi seramai 7,915 pengundi atau 38.82 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata situasi itu membolehkan kemungkinan besar peratusan yang disasar sebelum ini iaitu 70 peratus dapat dicapai.

"Jika trend peningkatan keluar mengundi ini dapat dikekalkan dan berterusan sehingga ke petang mungkin dapat mencapai sasaran SPR.

"Semangat pengundi di sini begitu tinggi untuk keluar mengundi," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin Aishah Putri di sini.

Beliau juga berkata pengumuman keputusan PRK Chempaka akan diumumkan kira-kira jam 9.30 malam ini di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.

Sementara itu masyarakat nelayan di Pantai Sabak turut mengambil peluang awal keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Sabak.

"Saya tidak pernah ketinggalan keluar mengundi sama ada PRK atau pilihan raya umum," kata seorang warga emas Muhammad Said, 96, ketika ditemui.

Beliau ditemani anak Zulkiffli, 45, berkata sudah menjadi kewajibannya membuang undi pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Bagaimanapun tinjauan di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Parang Puting agak suram kerana tidak ramai pengundi yang keluar mengundi sebelah pagi.

Warga emas Che Abdul Rahman Yaacob, 96 dan isterinya Che Mah Ismail, 91 berkerusi roda datang menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Parang Puting jam 9 pagi.

Mereka mempunyai lima anak dan 40 cucu serta 10 cicit mahu seorang wakil rakyat yang jujur seperti arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

"Sudah 14 kali kami mengundi. Kami hanya mahu melihat anak cucu hidup senang dan berpegang teguh kepada agama,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi. – HARAKAHDAILY 22/3/2015

Share on Myspace