Penduduk Dun Chempaka pikul tilam berlogo Umno

MIJIE YUSOF | .

PENGKALAN CHEPA: Umno tiba-tiba muncul di Chempaka biar pun parti itu tidak menyertai pilihan raya kecil (PRK) Dun berkenaan hari ini.

Semalam beberapa penduduk hadir pada program difahamkan dianjur parti itu di sebuah kampung di unit peti undi (UPU) Tok Sadang bagi menerima tilam dan peralatan dapor berlogo Umno.

Pada tilam yang dipikul penduduk tertulis perkataan Putera 1Malaysia. Selain itu ada juga penduduk menerima dapur gas dan peralatan lain.

Naib Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Azmi Noor berkata Umno tidak wajar mengambil peluang hari terakhir kempen dengan mengagih bantuan kepada penduduk di kawasan yang terbabit PRK.

Katanya biar pun bantuan itu diberi atas nama bantuan banjir namun mengapa ia dibahagi ketika kempen pilihan raya sekarang.

“Tentunya ada sesuatu niat tersembunyi mereka kerana bantuan seperti itu sudah lama diberi di tempat-tempat lain.

“Kalau mereka hendak mengambil kesempatan politik sepatutnya menyertai pilihan raya dan bukannya menyembunyikan diri dengan pelbagai alasan,” katanya di sini.

Semalam ditemui beberapa penduduk memikul tilam dan mengelek barangan dapor yang berlogo Umno diUPU Tok Sadang.

Manakala di UPU Pulau Gajah seorang calon bebas melakukan gimik perasmian batu asas bagi membina jeti bot nelayan.

Beberapa keping batu simen dijadikan batu asas dan dipacak dua kayu yang dililit dengan plastik berwarna merah. Ia didirikan berhampiran jeti bot nelayan.

Kawasan itu difahamkan menjadi tumpuan calon yang bertanding menggunakan lambang gajah.

Sementara itu sumber SPR memberitahu sehingga jam 4 petang tadi peratusan keluar mengundi 54.49 peratus. - HARAKAHDAILY 22/3/2015

 

Share on Myspace