PAS tambah majoriti di Dun Chempaka

HARAKAHDAILY | .

PENGKALAN CHEPA: PAS berjaya mengekalkan Dun Chempaka pada pilihan raya kecil yang diadakan hari ini dengan pertambahan undi lebih 3,000 undi berbanding pilihan raya umum lepas.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris di pusat penjumlahan di Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa.

Ustaz Ahmad Fathan Mahmood mewakili PAS mendapat 10,899 undi, Fadzillah Hussin (kunci) – 89 undi, Izat Bukhary Ismail Bukhary (pen) – 51 undi, Aslah Mamat (buku) – 27 undi, dan Sharif Mahmood (gajah) – 807 undi.

Ustaz Fathan mengatasi empat calon Bebas dengan majoriti 10,092 undi.

Turut berada di pusat penjumlahan undi Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.

Ustaz Fathan kemudian dijulang penyokong PAS yang berada dalam dewan di tempat penjumlahan undi.

Majoriti yang diperolehi Fathan meningkat walau pun kehadiran pengundi merosot kepada 55 peratus berbanding 83 peratus dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Keputusan tersebut diumumkan SPR pada jam  9.05 malam. Kesemua empat calon Bebas hilang deposit.

Proses pengundian tadi diadakan di sembilan sekolah di Dun berkenaan.  Jumlah  pemilih yang layak mengundi seramai 21,890 orang.

Pada proses pengundian awal pada 18 Mac lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka. - HARAKAHDAILY 22/3/2015

Share on Myspace