Pengundi Dun Chempaka terima pengganti Tok Guru

FUAD NURHADI | .

PENGKALAN CHEPA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan keupayaan PAS mengekalkan Dun Chempaka menggambarkan sokongan yng tidak berbelah kepada pengganti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kami bersyukur kerana mendapat majoriti yang lebih besar,” katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan undi di Maktab Rendah Sains Mara malam ini.

Pada pilihan raya kecil tersebut Ustaz Ahmad Fathan Mahmood mewakili PAS mendapat 10,899 undi, Fadzillah Hussin (kunci) – 89 undi, Izat Bukhary Ismail Bukhary (pen) – 51 undi, Aslah Mamat (buku) – 27 undi, dan Sharif Mahmood (gajah) – 807 undi.

Ustaz Fathan menang dengan majoriti 10,092 undi. Undi rosak sebanyak 140 undi. Hanya  12,013 pemilih keluar mengundi, iaitu sebanyak 55 peratus daripada 21,890 pengundi yang layak.

Mohamad berkata, kemenangan besar calon PAS pada pilihan raya kecil itu  disebabkan tiada saingan sebenar daripada sebuah parti yang besar terutamanya Barisan Nasional.

Menurutnya pengundi luar yang tidak balik mengundi menjadi salah satu faktor jumlah pengundi yang keluar merosot.

“Mungkin mereka menganggap PRK itu tidak ada saingan sengit,” ujarnya.

Ustaz Fathan ketika ditemui berkata, beliau berjanji akan berkhidmat kepada rakyat kawasan itu sebaik mungkin berdasarkan mandat yang mereka berikan. - HARAKAHDAILY 22/3/2015

 

Share on Myspace