PM pengasas Singapura Lee Kuan Yew meninggal dunia

TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH | .

SINGAPURA: Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew meninggal dunia pukul 3.18 Isnin pagi di Hospital Besar Singapura, demikian Pejabat Perdana Menteri mengumumkan.

Mendiang berusia 91 tahun.

Menurut PMO, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, anak mendiang Lee Kuan Yew amat sedih.

Ia memetik Hsien Loong sebagai berkata prosiding pengebumian dan urusan tempat untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir akan diumumkan kemudian.

Kuan Yew dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 5 Feb kerana radang paru-paru yang teruk.

Dilahirkan pada 16 Sept 1923, di Singapura, Kuan Yew dikenali sebagai pengasas Singapura modern, dengan mengetuai kerajaan lebih daripada tiga dekad, menjadikan beliau antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.

Sebagai pengasas bersama dan setiausaha agung pertama People's Action Party (PAP) (Parti Tindakan Rakyat), mendiang memimpin parti itu mencapai lapan kemenangan dalam pilihan raya antara tahun 1959 hingga 1990.

Beliau juga menyaksikan pemisahan Singapura daripada Malaysia dalam tahun 1965.

Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai visi besar dan berani, Kuan Yew berjaya menjadikan Singapura sebuah bandar raya negara bertaraf dunia.

Kuan Yew meletak jawatan sebagai perdana menteri dalam tahun 1990 dan dilantik sebagai Menteri Kanan oleh Perdana Menteri kedua Singapura Goh Chok Tong.

Pada Ogos 2004, Kuan Yew memegang jawatan sebagai penasihat atau Menteri Mentor dalam kerajaan yang dipimpin anaknya, Perdana Menteri sekarang Lee Hsien Loong.

Mendiang merupakan lulusan Undang-undang Ijazah Kelas Pertama Kepujian daripada Universiti Cambridge dalam tahun 1949.

Sepanjang memegang jawatan perdana menteri, menteri kanan dan penasihat lebih daripada 50 tahun, Kuan Yew merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh di Asia.

Kuan Yew mengumumkan persaraan daripada jawatan kabinet pada 14 Mei 2011 selepas pilihan raya umum tahun itu tetapi kekal sebagai anggota Parlimen. - Bernama

Share on Myspace