Chempaka: Majoriti besar bukti calon PAS diterima ramai

| .

PENGKALAN CHEPA: PAS mengucapkan terima kasih kepada penyokong Umno BN kerana mengundi calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Chempaka semalam.

AJK PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, mengikut rekod kemenangan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood yang memperoleh majoriti besar ketika peratusan keluar mengundi rendah, tidak mustahil penyokong parti lawan membantu kemenangan beliau.

“Saya berharap bukan hanya pada PRK ini sahaja penyokong Umno dan BN memberi undi pada calon kita, malah kita berharap pada mana-mana pilihan raya diadakan sekalipun mereka memberi sokongan kepada kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengisytiharan kemenangan calon PAS pada PRK itu di Putik malam tadi.

Ustaz Ahmad Fathan memperoleh 10,899 undi dengan majoriti 10,092.

Menurutnya, dengan kemenangan Fathan akan memberi semangat baru pada PAS dan kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud yang baru diluluskan dalam sidang Dun baru-baru ini.

“Melaksanakan hukum hudud, bukan pandai-pandai kita nak buat.

“Kerajaan negeri hanya meneruskan apa yang diperjuangkan oleh allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang hayatnya,” ujarnya.

Jelas Amar lagi, kerajaan negeri tidak membelakangkan Tuan Guru dalam meneruskan perjuangan itu malah turut berbincang dengan allahyarham.

Turut berucap pada majlis itu ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Ketua Pemuda Negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri turut berkata, cita-cita PAS bukan untuk menawan Putrajaya semata-mata, sebaliknya membawa perundangan Islam ke sana.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dari seluruh kawasan di negeri itu, termasuk petugas PAS dari luar Kelantan. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace