Pentaksiran Tingkatan 3 tergesa-gesa, bebankan guru

| .

KUALA LUMPUR: Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dilaksanakan pada tahun 2014 dilihat terlalu tergesa-gesa sehingga menimbulkan kepincangan dalam sistem pendidikan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad yang mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan melaksanakan PT3 tanpa melalui kajian perintis.

"Kenapa kementerian tidak buat kajian perintis dahulu, kerana pelajar tingkatan 1 dan 2 menggunakan kaedah PBS,"katanya dalam soalan tambahan ketika soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ini kerana katanya, ibu bapa mengadu anak-anak mereka tidak mahu belajar disebabkan tidak ada peperiksaan.

"Akhirnya guru-guru diarahkan untuk melaksanakan PT3, selepas itu ramai guru rasa terbeban khususnya guru-guru di kelas tingkatan 3,"katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd Johari Baharom mempersoalkan kaedah PT3 yang dinilai oleh guru sendiri bukan seperti PMR sebelum ini.

"PT3 ini soalan dibuat sendiri oleh guru mereka (murid) dan markah juga dibuat oleh guru mereka juga. Sedangkan guru-guru ini juga yang memberi latihan kepada anak murid mereka.

"Sebab itulah keputusan peperiksaan PT3 ini luar biasa. Ramai yang lulus," katanya.

Tambahnya, penilaian ini telah mengecewakan ramai ibu bapa kerana bagi mereka pencapaian anak-anaknya tidak mencerminkan pencapaian sebenar pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan dalam jawapannya menafikan pelaksanaan PT3 kerana tergesa-gesa sebaliknya ia telah memenuhi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang didedahkan ketika tingkatan satu.

Kamalanathan juga menegaskan Kementerian membenarkan guru-guru membuat soalan dan memberi markah kepada pelajar PT3 sebagai bukti pengiktirafan kementerian kepada mereka. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace