'Sahabat Aktivis' Muslimat PAS cari dana 12 OKZ

| .

 

KUALA LUMPUR: Penggerak Demokrasi Dewan Muslimat PAS Malaysia berjaya mendapatkan penyumbang tetap bagi tujuh keluarga daripada 12 keluarga orang kena zalim (OKZ) yang dipenjarakan 10 bulan atas sabitan kesalahan menyertai bantahan rampasan kuasa negeri Perak pada 2009.

Ahli jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, mereka masih meneruskan usaha mencari penyumbang tetap bagi lima lagi keluarga OKZ.

Program yang dinamakan Sahabat Aktivis itu melantik koordinator sumbangan bagi memastikan mereka menerima sumbangan bulanan minimum RM1,500 setiap keluarga serta mengambil berat kebajikan keluarga terbabit mengikut keperluan dan keutamaan.

"Penggerak Demokrasi menginsafi bahawa nasib 12 keluarga OKZ ini perlu mendapat pembelaan segera daripada kita semua khususnya aktivis dan rakyat.

"Atas semangat dan tema 'Friends Of Activist' (Sahabat Aktivis) maka Penggerak Demokrasi Muslimat PAS mengambil inisiatif segera untuk mengenal pasti pwnyumbang tetap sepanjang tempoh OKZ dalam penjara," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, mana-mana pihak atau individu perseorangan yang berminat menjadi penyumbang tetap bulanan boleh menghubungi Setiausaha Program Sahabat Aktivis, Anis Afida Azli di talian 013-7549335.

Aiman juga berkata, hukuman ini adalah satu perkembangan terbaru yang sangat malang dalam sejarah demokrasi negara ini dan suatu yang sangat dikesali.

"Ironinya, para demonstran daripada Umno BN yang melakukan kekacauan serta demonstrasi ke atas Kerajaan Selangor dan gangguan ke atas sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang suatu ketika dulu, sekalipun didakwa akhirnya hanya dijatuhi hukuman denda RM1,500 dan RM1,000.

"Sedangkan dalam kes aktivis kita di Perak pula dijatuhi hukuman Denda RM5,000 seorang dan penjara 10 bulan," katanya.

Mereka yang dijatuhi hukuman penjara dan denda ialah Bad Latif Mansor, 49; Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusoff Jaafar, 49. - HARAKAHDAILY 23/3/2015 

Share on Myspace