Umno diam tanda sokong Gerakan halang EKJS K'tan?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Umno menyatakan pendirian rasmi secara terbuka berhubung sokongan mereka terhadap pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

Hal ini kerana, menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar rakyat akan melihat Umno sendiri gagal menegur gelagat parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan yang begitu lantang menghalang pelaksanaan EKJS di Kelantan.

Dun Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015.

Namun, katanya, belum sempat ia dibawa ke peringkat seterusnya Parti Gerakan, rakan Umno di dalam Barisan Nasional telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi memohon deklarasi pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

"Adakah tindakan Umno berdiam diri ini adalah merestui perbuatan Gerakan itu," soalnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Hal ini katanya akan membuatkan sokongan yang diberikan oleh 12 orang Adun Umno di dalam Sidang Dun Kelantan itu bersifat politik kerana Umno takut akan terus ditolak oleh rakyat Kelantan jika mereka menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II tersebut.

"Apa yang dikesalkan ialah Umno masih berdiam diri dan tidak pula menegur parti rakan komponennya itu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Justeru beliau menggesa Umno bersikap jujur dan tidak bersandiwara di dalam hal ini. – HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace