DACS, KRU bincang patuh syariah industri kreatif

| .

 

CYBERJAYA: Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim mencadangkan kerajaan melalui kementerian yang berkaitan mewujudkan garis panduan patuh syariah dalam industri kreatif.

Menurutnya, satu badan perlu diwujudkan bagi melaksanakan elemen tersebut semasa merangka garis panduan dalam penghasilan sesuatu karya sama ada filem, drama mahupun lagu.

Kata beliau, patuh syariah boleh berperanan dalam mengenal pasti karya-karya yang benar-benar mengikut syariat serta batasan agama Islam.

Antara lain, katanya, pihak yang terbabit boleh menghasilkan satu logo sebagai pengiktirafan halal dan ia akan diberikan sekiranya karya yang dihasilkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Kemungkinan perlu ada pengiktirafan pensijilan halal kepada karya-karya dalam industri kreatif seperti sijil halal yang dilaksanakan dalam pemakanan.

"Misal kata dalam industri pemakanan, apabila restoran ada logo halal, masyarakat akan lebih yakin untuk berkunjung ke sana. Begitu juga dalam industri kreatif.

"Contohnya, apabila artis barat datang ke Malaysia untuk membuat persembahan dan ia dikenal pasti tidak patuh syariah maka tidak ada logo di situ, jadi orang Islam akan mengetahui bahawa program tidak sesuai untuk dihadiri kerana tidak menepati syariat dan batasan Islam," katanya.

Beliau berkata demiKian dalam Kunjungan Hormat Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Malaysia ke KRU Studios, dekat Cyberjaya minggu lalu.

Ujarnya, ia akan memberikan satu panduan kepada masyarakat untuk memilih karya-karya yang lebih sesuai dan bertepatan dengan batas-batas agama Islam.

Norman menyatakan, jika elemen patuh syariah itu berjaya dilaksanakan, ia akan mendorong kepada 'market' industri kreatif di samping menjadi panduan kepada mana-mana pihak dalam menghasilkan apa jua karya.

Apabila patuh syariah ini dilaksanakan, beliau yakin kesedaran itu akan datang dengan sendirinya ke dalam diri masyarakat dan ia adalah salah satu strategi dakwah yang boleh dilaksanakan.

"Saya yakin para penggiat industri kreatif akan berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang patuh syariah bagi mendapatkan pensijilan logo itu agar masyarakat memilih karya mereka," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Dacs Malaysia, Salman Saleh menyambut baik cadangan yang dilontarkan Norman itu dan menyifatkannya sebagai sangat menarik.

Katanya, pada peringkat permulaan, Dacs Malaysia akan menghantar surat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapat penjelasan sama ada patuh syariah itu telah diwujudkan atau tidak. - HARAKAHDAILY 23/3/2015 

Share on Myspace