AirAsia tawar 3 juta tempat duduk percuma

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: AirAsia menawarkan tempat duduk percuma dengan lebih 3 juta tempat duduk untuk direbut ke lebih 20 buah negara di seluruh rangkaian laluan penerbangan Kumpulan AirAsia dan AirAsia X.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraud Teh berkata, pihaknya memperkenalkan banyak laluan baru domestik dan antarabangsa, dan juga baru-baru ini telah menghapuskan surcaj bahan api.

"Dengan promosi tempat duduk percuma ini, kami berpegang pada komitten kami untuk menerbangkan lebih ramai tetamu ke serata Asia dan benua pada tambang rendah yang berpatutan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan tambang asas bermula dari RM0 dan pemansuhan surcaj bahan api yang diumumkan baru-baru ini, tetamu hanya perlu membayar cukai lapangan terbang dan yuran semasa membuat tempahan bagi promosi itu untuk penerbangan ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa.

Tambahnya, tempahan tempat duduk percuma ini boleh dibuat di www.airasia.com dari 23 Mac hingga 29 Mac 2015, untuk tempoh perjalanan dari 1 September 2015 hingga 31 Mei 2016. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace