Tun Razak Exchange: Mengapa guna kepakaran luar?

| .

KUALA LUMPUR: PAS mempersoal tindakan kerajaan memilih syarikat hartanah daripada Australia sebagai rakan kongsi utama 1MDB dalam projek Pembangunan Tun Razak Exchange.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, Syarikat Lend Lease, sebuah syarikat hartanah dan infrastruktur antarabangsa berpangkalan di Australia dianugerahkan projek yang bernilai RM8 bilion.

"Keputusan ini sangat menghairankan, sepatutnya diusahakan sendiri oleh syarikat tempatan yang tidak kurang hebat dan berkemampuan.

"Mengapa pula Malaysia ingin bergantung lagi kepada kepakaran luar untuk membangunkan hartanah sedangkan pihak kerajaan sibuk mencanang negara kita sudah berada di landasan yang tepat menuju Wawasan 2020,"soalnya dalam sidang media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok sena juga berkata, banyak projek mega sebelum ini diberi kepada syarikat tempatan misalnya, pusat pentadbiran Putrajaya dibina oleh Putrajaya Holdings Berhad, KL Sentral dibina oleh MRCB bahkan UDA pula telah berjaya membangunkan pelbagai jenis hartanah semenjak tahun 1970an lagi.

Jelasnya, projek-projek itu sekali gus membuktikan pada hakikatnya Malaysia sudah ada kemampuan sendiri untuk membangunkan hartanah.

Justeru, Mahfuz menggesa Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia membantah tindakan Perdana Menteri dan 1MDB yang memilih Lend Lease Australia sebagai rakan kongsi 60% dalam membangunkan Projek Tun Razak Exchange.

"Sudah tiba masanya, kita berdiri atas kaki kita sendiri tanpa terus bergantung kepada pihak luar,"katanya. - HARAKAHDAILY 23/3/2015

Share on Myspace